| 
A+
Aa
A-
A
A
A

Peta Laman Aduan & Maklum Balas Hubungi Kami Soalan Lazim

Perutusan KJP Dato' Sri Haji Zulkifli Bin Omar, Ketua Pengarah Penjara Malaysia Sempena Hari Penjara ke-225

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan  Salam 1Malaysia.

 

1. Terlebih dahulu marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah dan inayah-Nya pada tahun ini kita dapat meraikan  Hari Penjara Ke-225 yang penuh bersejarah ini.


2. Sambutan Hari Penjara Ke-225 tahun ini menampilkan kelainan apabila buat pertama kalinya diraikan pada bulan Mac berbanding sebelum ini diraikan pada bulan Oktober setiap tahun. Pindaan bulan sambutan ini berasaskan hasil kajian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mendapati sejarah moden penubuhan penjara di Malaysia bermula pada Mac 1790,  di Kota Cornwallis, Pulau Pinang. Hasil kajian telah dibentangkan dalam seminar dan dipersetujui oleh pakar-pakar sejarah dan kajian ini  amat berharga kepada seluruh warga penjara agar lebih memahami persekitaran dan transformasi kepenjaraan yang berlaku dua abad lamanya untuk menjadi asas yang lebih kukuh ke arah pembentukan penjara sebagai organisasi koreksional yang profesional dan bertaraf dunia. 


3. Sebagaimana lazimnya, sambutan Hari Penjara bertujuan untuk menghargai sumbangan dan khidmat bakti individu, organisasi dan seluruh warga kerja Jabatan Penjara Malaysia. Sesungguhnya sokongan warga kerja dan pelbagai pihak telah membantu Jabatan Penjara Malaysia memantapkan lagi fungsinya sebagai organisasi korektif bertaraf antarabangsa. 


4.  'Peneraju Perkhidmtan Korektif' menjadi tema sambutan pada kali ini. Ia bagi menzahirkan kepada masyarakat bahawa Jabatan Penjara Malaysia sentiasa optimis dalam menjayakan agenda pemulihan agar setiap insan yang menjalani hukuman di dalam penjara mahupun diluar tembok penjara mendapat didikan yang sempurna dan berubah ke arah kehidupan yang lebih baik apabila dibebaskan.


5. Kita mahu melihat apabila mereka melangkah keluar dari penjara, mereka tidak menoleh ke belakang lagi. Pada kita, 'tak ada kata terlambat untuk berubah, kerana sebagai manusia kita tidak boleh mengubah masa lalu, tapi kita boleh mengubah masa depan dengan belajar dari masa lalu terus bangkit demi kehidupan yang lebih baik'. Namun begitu sokongan masyarakat amat penting dalam memberi sokongan kepada bekas penghuni agar terus tabah dalam menempuhi ranjau setelah dibebaskan.


6. Sesungguhnya kita perlu sedar masyarakat di luar menaruh harapan dan peka kepada peranan pemulihan yang kita usahakan agar dapat melahirkan bekas penghuni yang terlatih serta pulih sahsiahnya. Kita perlu menjunjung amanah ini dengan memastikan tanggungjawab Membentuk Insan Produktif Melalui Pemulihan Efektif, Persekitaran Kondusif dan Pengintegrasian Strategik tercapai sebagaimana yang di cita-citakan.


7. Usaha untuk meletakkan jabatan ini di aras kecemerlangan, memerlukan kerjasama yang menyeluruh oleh setiap kakitangan di mana memerlukan persefahaman dan kesetiaan sebagai satu pasukan termasuklah pegawai awam yang ditempatkan di Jabatan Penjara Malaysia. Sesungguhnya tanggungjawab kita adalah satu amanah dan setiap peruntukan kewangan yang dibelanjakan adalah membawa harapan tinggi rakyat terhadap kita dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada mereka.


Akhir kata, sekali lagi saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Penjara Ke-225 kepada seluruh warga Jabatan Penjara Malaysia.


Sekian, terima kasih.
Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh.