Jabatan Penjara Malaysia merupakan salah sebuah agensi di Bawah Kementerian dalam negeri (KDN) yang menjadi tulang belakang negara dalam aspek menjaga keselamatan negara. Di dalam mengorak langkah menjadi organisasi yang mendukung amanah yang diberikan oleh kerajaan dan masyarakat agar menjadi sebuah koreksional yang berdaya saing dalam menjana keselamatan negara terjamin serta dapat melahirkan warganegara yang lebih bertanggungjawab.
Kerjasama bersama Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan telah berjaya mewujudkan Pasukan Kadet Koreksional di sekolah-sekolah seluruh Malaysia. Kemampuan melahirkan pelajar-pelajar koreksional di seluruh negara telah menjadi harapan jabatan untuk memperluaskan lagi jalinan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) agar ditubuhkan Sukarelawan Muda Koreksional mahasiswa/mahasiswi di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Dengan memperluaskan lagi Sukarelawan Muda Koreksional ini diharap ianya dapat menarik minat pelajar-pelajar di Pusat Pengajian Tinggi untuk membantu Jabatan Penjara dalam merealisasikan hasrat Jabatan Penjara Malaysia untuk mendekatkan masyarakat dengan banduan dan ianya juga dapat memberi pendedahan kepada sukarelawan berkaitan misi dan visi jabatan penjara dalam memulihkan banduan di negara ini.
Sebenarnya keperluan kearah ini telah lama wujud dikalangan mahasiswa dan mahasiswi IPTA dan IPTS dimana setiap tahun Jabatan Penjara Malaysia telah menerima permohonan daripada pensyarah dan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) untuk membantu melaksanakan program pemulihan ke atas banduan mengikut kaedah yang mereka pelajari. Selain itu, terdapat juga permohonan daripada pusat-pusat pengajian universiti untuk menempatkan pelajar menjalani sesi praktikal di institusi penjara. Pihak jabatan ini juga sering menerima permohonan daripada pelajar IPT untuk menjalankan kajian dalam bidang koreksional. Menerusi peluang yang dibuka ini, Sukarelawan Muda Koreksional secara automatik akan mendapat peluang melaksanakan aktiviti-aktiviti mereka yang dikategorikan sebagai sukarelawan di Jabatan Penjara Malaysia.
Pasukan Sukarelawan Siswa/Siswi Koreksional ini akan dikendalikan oleh Unit Hal Ehwal Staf, Bahagian Pembangunan Profesionalisme, Ibu Pejabat Penjara Malaysia dan latihan kepada sukarelawan akan dikendalikan oleh institusi latihan penjara yang berhampiran universiti berkaitan. Diharap dengan wujudnya pasukan sukarelawan ini ianya akan memberi impak positif kepada jabatan / universiti dan juga kepada negara dan dengan terjalinnya hubungan ini ianya akan mempercepatkan lagi proses Pelan Tranformasi Jabatan Penjara Malaysia untuk menjadi Agensi Koreksional Bertaraf Dunia pada Tahun 2020 dapat direalisasikan.
TUJUAN / OBJEKTIF
Memberi peluang kepada siswa dan siswi untuk menjalankan aktiviti sukarelawan dalam bidang koreksional di institusi penjara di institusi penjara / Sekolah Integriti/ Parol / Pusat Kehadiran Wajib / Pusat Pemasyarakatan Penjara / Rumah Perantaraan yang dijalankan di Jabatan Penjara Malaysia
Menggalakkan mahasiswa/mahasiswi mengadakan kajian ilmiah dalam bidang pengajian mereka di Jabatan Penjara Malaysia
Menyemai nilai-nilai murni, dan integriti dikalangan mahasiswa/mahasiswi serta mendorong mereka menjadi pegawai yang beretika dan berintrgriti dalam bidang pekerjaan mereka pada masa hadapan.
VISI DAN MISI
Visi - Melahirkan siswa / siswi sebagai pelapis pemimpin yang mempunyai tahap pengetahuan kepenjaraan dan koreksional serta keterampilan diri yang menepati keperluan masyarakat.
Misi - Menjayakan misi negara untuk mewujudkan siswa/siswi yang prihatin kepada masyarakat dan menyumbang kepada ketenteraman awam dan kesejahteraan rakyat.
Struktur Organisasi
Kor ini merupakan sebuah badan beruniform yang ditubuhkan di bawah Jabatan Penjara Malaysia dan diuruskan oleh Bahagian Pembangunan Profesionalisme, Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Kajang. Ketua Pengarah Penjara merupakan penaung kepada pasukan beruniform ini.
Fungsi
Peranan SISKOR ini adalah untuk melaksanakan kerja-kerja sukarelawan koreksional secara berstruktur bersama-sama agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta. Fungsi SISKOR ini adalah :
i. Pembimbing rakan sebaya - dimana ia membantu mengadakan program kaunseling dan kerja-kerja yang berkaitan dengan program pemulihan pesalah.
ii. Pemasyarakatan – Dimana ia membantu dalam kerja-kerja sukarelawan dalam komuniti setempat, di pejabat parol dan Rumah Perantaraan Jabatan Penjara.
iii. Akademik – Dimana pelajar mengadakan projek ilmiah dalam konteks pemulihan dan pemasyarakatan yang boleh membantu Jabatan Penjara dalam melaksanakan program pemulihan yang lebih berkesan dan bermanfaat kepada komuniti setempat.
Latihan Sukarelawan Siswa/siswi Koreksional (SISKOR) Mekanisme pelaksanaan Latihan kepada Sukarelawan SISKOR IPT meliputi perkara-perkara berikut :
i. Latihan Bersepadu secara kerjasama dengan jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta agensi swasta yang berkaitan.
ii. Latihan Tempatan dilaksanakan pada setiap hujung minggu, ianya meliputi latihan dalam kelas, latihan kumpulan serta latihan fizikal.
iii. Latihan di lapangan – Sukarelawan SISKOR akan didedahkan dengan pengurusan kepenjaraan di institusi penjara dengan mengadakan projek ilmiah. Segala kelas yang dipelajari akan dipraktikkan semasa menjalani latihan dilapangan.
Maklumat Pelaksanaan Kor Sukarelawan Siswa/siswi sebagai Kursus Kokurikulum
Objektif Latihan
i. Memberi peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk menjalankan aktiviti dalam bidang koreksional di institusi penjara /Sekolah Integriti/Parol/Pusat Kehadiran Wajib /Pusat Pemasyarakatan Penjara / Rumah Perantaraan yang dijalankan oleh Jabatan Penjara Malaysia.
ii. Menggalakkan mahasiswa/mahasiswi mengadakan kajian ilmiah / praktikum dalam bidang pengajian mereka di Jabatan Penjara Malaysia.
iii. Menyemai nilai-nilai murni, dan integriti di kalangan mahasiswa/mahasiswi mendorong mereka menjadi pegawai yang beretika dan berintegriti dalam bidang pekerjaan mereka pada masa hadapan.
Bidang Latihan
i. Pengurusan Koreksional
ii. Kenegaraan, Etika dan Moral
iii. Kawat Kaki
iv. Ujian Kemahiran Menembak
v. Seni Mempertahankan Diri (SENTAP)
vi. Asas kaunseling
vii. Keselamatan (UKP)
viii. Pertolongan Cemas
ix. Kelas Undang-undang
x. Program Parol dan Pemasyarakatan
xi. Kursus Tahunan di Pusat Latihan
Kaedah Latihan
i. Latihan serta proses pembelajaran dan pengajaran akan dijalankan oleh jurulatih yang bertauliah dan pembantu jurulatih dalam bentuk teori dan praktikal serta bimbingan.
ii. Latihan serta proses pembelajaran dan pengajaran dijalankan secara mingguan diselaraskan dengan aktiviti Kokurikulum di peringkat IPT.
iii. Program Latihan luar akan diadakan pada setiap semester bagi semua Kor Sukarelawan SISKOR dan akan mengambil masa selama 3 hari 2 malam.
iv. Program kesukarelawanan yang memberikan impak berkesan akan diadakan pada setiap semester dengan dirancang, diurus dan dilaksanakan oleh Kor Sukarelawan SISKOR sebagai projek akhir semester.
Sukatan Latihan
i. Kursus Kokurikulum SISKOR IPT akan dilaksanakan selama 4 semester pengajian dengan diberikan jumlah nilai 4 jam kredit iaitu 1 jam kredit bagi setiap semester.
ii. Pengisian Modul untuk Kor Sukarelawan SISKOR setiap semester dan kaedah penilaian adalah seperti LAMPIRAN.
Sijil dan Pentauliahan
Pelajar yang Berjaya menamatkan kursus kokurikulum SISKOR IPT akan ditauliahkan Inspektor percubaan SISKOR. Manakala Sijil yang akan diperolehi adalah seperti berikut :
i. Sijil Amalan Pengurusan Koreksional – Akan dikeluarkan oleh Jabatan Penjara Malaysia.
ii. Sijil Latihan Kemahiran (Ujian Kemahiran Menembak dan SENTAP) akan dikeluarkan oleh Jabatan Penjara Malaysia.
iii. Sijil Pentauliahan akan dikeluarkan oleh Jabatan Penjara Malaysia.
FAEDAH-FAEDAH DIPEROLEHI
Universiti
Peluang kerjaya di bidang kepenjaraan
Mempertingkatkan disiplin pelajar-pelajar di IPTA
Pembentukan kendiri, siswa / siswi bagi mengelakkan gejala sosial
Satu bidang baru di dalam ko-kurikulum di IPTA
Kadet sukarelawan koreksional menjadi penyalur maklumat (duta) kepada masyarakat setempat
Jabatan Penjara Malaysia
Memperluaskan jalinan kerjasama dengan IPTA dalam aspek fungsi, pengoperasian jabatan.
Mempromosi jabatan dalam mendapatkan pengiktirafan daripada IPTA kepada jabatan serta memartabatkan organisasi jabatan
Menambah keanggotaan sukarelawan di Jabatan Penjara Malaysia