| 
A+
Aa
A-
A
A
A

Peta Laman Aduan & Maklum Balas Hubungi Kami Soalan Lazim

Jabatan Penjara Malaysia sering menjadi tumpuan para pelajar dari institusi-institusi pengajian pengajian tinggi untuk menjalani latihan industri/ praktikum/ internship. Namun demikian, pengambilan pelajar yang berminat untuk menjalani latihan industri/ praktikum/ internship di jabatan ini adalah terhad kepada empat bidang pengajian sepertimana berikut:

1. Kaunseling
2. Psikologi
3. Kerja Sosial dan
4. Pengajian Islam

Selain mengambil kira bidang pengajian pelajar, pertimbangan turut mengambil kira kekosongan tempat, aspek keselamatan serta lain-lain perkara yang berkaitan.

Cara Memohon

Permohonan Latihan Industri/ Praktikum/ Internship di Jabatan Penjara Malaysia perlu disertakan dokumen-dokumen berikut:

• Surat pengesahan/sokongan dari institusi pengajian
• Surat permohonan pelajar
• Data peribadi/ resume pelajar

Surat permohonan hendaklah dikemukakan kepada:
Pengarah Kanan
Bahagian Dasar Kepenjaraan
Ibu Pejabat Penjara Malaysia
Jalan Kajang - Bypass
43000 Kajang
Selangor
E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
No. Tel: 03-8732 8000


SYARAT-SYARAT MENJALANI LATIHAN INDUSTRI/PRAKTIKUM/ INTERNSHIP DI JABATAN PENJARA MALAYSIA

1. Jumlah dan senarai nama pelajar yang terlibat dalam praktikum perlu dikemukakan dan ditetapkan. Tambahan nama hanya boleh dibenarkan dengan kelulusan Jabatan Penjara Malaysia atau Kementerian Dalam Negeri.

2. Pelajar yang terlibat serta peralatan yang dibawa boleh diperiksa semasa masuk dan keluar dari penjara. Mana-mana pelajar yang didapati membawa masuk atau membawa keluar barang larangan atau barang yang tidak mendapat kelulusan boleh tidak dibenarkan masuk ke penjara.

3. Pelajar hendaklah menyenaraikan peralatan atau bahan yang akan dibawa masuk ke penjara.

4. Bagi tujuan keselamatan dan mematuhi ketetapan Akta Penjara 1995 serta Peraturan-Peraturan Penjara 2000, pelajar adalah tertakluk kepada arahan dan tatacara kawalan yang ditetapkan oleh pengurusan penjara terlibat sepanjang tempoh berada di penjara berkenaan.

5. Bagi tujuan kawalan keselamatan pelajar hanya dibenarkan berada di lokasi-lokasi yang ditetapkan oleh pihak penjara dan sebarang pergerakan ke lokasi-lokasi berkenaan perlu dalam pengetahuan oleh pihak penjara.

6. Dilarang merakam percakapan dengan menggunakan alat perakam, imej banduan dan struktur fizikal penjara menggunakan apa-apa jua perkakas fotografi.

7. Hasil pemerhatian atau sebahagian maklumat berhubung latihan praktikum tidak boleh diberikan kepada lain-lain pihak bagi apa-apa maksud kecuali dengan kebenaran Jabatan Penjara Malaysia;

8. Hasil laporan praktikum tidak boleh digunakan bagi maksud apa-apa penerbitan atau penyiaran tanpa kelulusan oleh Jabatan Penjara Malaysia.

9. Begitu juga maklumat berhubung penjara atau banduan atau pegawai penjara yang diperolehi tidak boleh disebarkan kepada mana-mana pihak tanpa kebenaran Jabatan Penjara Malaysia.

10. Jabatan Penjara Malaysia boleh pada bila-bila masa atas apa-apa alasan yang difikirkan wajar dan munasabah, menarik balik kelulusan yang diberi atau hasil laporan pihak tuan dan keputusan sedemikian adalah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan.

11. Pihak pelajar bertanggungjawab mengemukakan hasil laporan praktikum kepada Jabatan Penjara Malaysia dengan mengemukakan cadangan-cadangan penambahbaikan bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan di unit/ institusi penjara berkenaan kepada Penyelia Pelajar (di peringkat institusi penjara) dalam tempoh dua minggu sebelum tarikh akhir latihan praktikum selain menyerahkan sesalinan penghasilan mereka selepas tamat latihan praktikum kepada Bahagian Dasar Kepenjaraan, Ibu Pejabat Penjara Malaysia untuk tujuan semakan dan rekod.

12. Latihan Industri/praktikum/internship diadakan pada hari dan waktu bekerja sahaja.

13. Pergerakan pelajar di kawasan penjara adalah dihadkan hanya untuk kawasan yang melibatkan pembelajaran atau sesi kaunseling kepada banduan sahaja, tidak melibatkan blok penempatan banduan.

14. Hanya banduan reman dan banduan sabitan sahaja dibenarkan terlibat bersama para pelajar praktikum.

15. Banduan yang terlibat dalam sesi bersama pelajar, tidak dibenar menggunakan nama dan kad pengenalan sebenar.

16. Pelajar diminta untuk mengenakan pakaian pejabat semasa menjalani latihan praktikum di penjara.

17. Jabatan Penjara Malaysia hanya menyediakan tempat latihan industri/ amali/praktikum bagi memenuhi syarat graduasi pelajar (tiada kemudahan penginapan/ pengangkutan dan sebagainya disediakan kepada pelajar).

18. Arahan-arahan lain dari semasa ke semasa.

PERMOHONAN MENJALANKAN KAJIAN PENYELIDIKAN DI JABATAN PENJARA MALAYSIA

Jabatan Penjara Malaysia sering menjadi tumpuan para pelajar dari institusi-institusi pengajian pengajian tinggi/ agensi untuk menjalankan kajian penyelidikan melibatkan sama ada kakitangan ataupun banduan. Di Jabatan ini, permohonan kajian penyelidikan akan dinilai oleh sebuah Jawatankuasa Penilai yang terdiri daripada beberapa orang pegawai kanan di Bahagian Dasar Kepenjaraan dan dibantu oleh bahagian-bahagian lain yang akan meneliti kesesuaian dan keperluan kajian tersebut, impak kajian kepada jabatan/negara, responden yang dipilih, tempoh masa kajian yang bersesuaian, aspek keselamatan dan lain-lain yang berkaitan.

Cara Memohon

Permohonan untuk menjalankan kajian penyelidikan di Jabatan Penjara Malaysia
perlu disertakan dokumen-dokumen berikut:

• Surat pengesahan/sokongan dari institusi pengajian/ agensi berkaitan.
• Surat permohonan dari penyelidik.
• Ringkasan Eksekutif Cadangan Kajian (ringkas, padat dan tepat).
• Data peribadi pengkaji/ resume

Dokumen yang telah dilengkapkan hendaklah dikemukakan kepada:

Pengarah Kanan
Bahagian Dasar Kepenjaraan
Ibu Pejabat Penjara Malaysia
Jalan Kajang – Semenyih Bypass
43000 Kajang
Selangor
F-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
No. Tel: 03-8732 8000


SYARAT-SYARAT MENJALANKAN KAJIAN PENYELIDIKAN DI JABATAN PENJARA MALAYSIA

1. Jumlah dan nama pengkaji serta no. kad pengenalan yang terlibat perlu dikemukakan dan ditetapkan. Penambahan pengkaji tidak dibenarkan tetapi penggantian adalah dibenarkan dengan kelulusan bertulis daripada Jabatan Penjara.

2. Jurugambar adalah bukan pengkaji dan jangan sesekali menyatakan pengkaji tambahan untuk jurugambar. Sebarang gambar yang diambil juga tidak boleh disebarkan melalui apa-apa media tanpa kebenaran Jabatan Penjara. Jika didapati berlaku, kelulusan untuk kajian boleh diberhentikan serta-merta.

3. Pengkaji atau pemohon yang terlibat serta peralatan yang dibawa boleh diperiksa semasa masuk dan keluar dari penjara. Mana-mana pengkaji atau pemohon yang didapati membawa masuk atau membawa keluar barang larangan atau barang yang tidak mendapat kelulusan boleh tidak dibenarkan masuk ke penjara.

4. Pengkaji atau pemohon hendaklah menyenaraikan peralatan atau bahan yang akan dibawa masuk semasa permohonan atau sebelum kajian dibuat.

5. Bagi tujuan kawalan keselamatan pengkaji atau pemohon hanya dibenarkan berada di lokasi-lokasi yang ditetapkan oleh pihak penjara dan sebarang pergerakan ke lokasi-lokasi berkenaan perlu dalam pengetahuan oleh pihak penjara.

6. Dilarang merakam percakapan dengan menggunakan alat perakam, imej banduan dan struktur fizikal penjara menggunakan apa-apa jua perkakas fotografi.

7. Barangan/ peralatan elektronik seperti telefon bimbit, laptop, tablet tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam kawasan penjara kecuali terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis daripada Jabatan Penjara.

8. Bagi tujuan keselamatan dan mematuhi ketetapan Akta Penjara 1995 serta Peraturan-Peraturan Penjara 2000, pengkaji atau pemohon adalah tertakluk kepada arahan dan tatacara kawalan yang ditetapkan oleh pengurusan penjara terlibat sepanjang tempoh berada di penjara berkenaan.

9. Hasil kajian atau sebahagian maklumat berhubung hasil kajian tidak boleh diberikan kepada lain-lain pihak bagi apa-apa maksud kecuali dengan kebenaran Jabatan Penjara Malaysia.

10. Pengkaji atau pemohon juga tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Penjara 2000 Peraturan 254 berkaitan perhubungan kepada akhbar awam mengenai maklumat yang didapati daripada punca-punca rasmi atau yang berkaitan dengan tugas-tugas atau penjara itu tanpa kebenaran Ketua Pengarah Penjara, akan dianggap sebagai suatu pecah kepercayaan dan akan menyebabkannya boleh dikenakan tindakan tatatertib.

11. Hasil kajian yang dijalankan tidak digunakan untuk menjatuhkan imej Malaysia dan Jabatan Penjara.

12. Pembentangan hasil kajian yang dibuat sama ada di dalam mahupun di luar negara perlu tapisan Jabatan Penjara dan perlu dikemukakan awal untuk pertimbangan dan kelulusan.

13. Begitu juga maklumat berhubung penjara atau banduan atau pegawai penjara yang diperolehi tidak boleh disebarkan kepada mana-mana pihak tanpa kebenaran Jabatan Penjara Malaysia.

14. Jabatan Penjara Malaysia boleh pada bila-bila masa atas apa-apa alasan yang difikirkan wajar dan munasabah, menarik balik kelulusan yang diberi atau hasil kajian pihak tuan dan keputusan sedemikian adalah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan.

15. Pihak pengkaji/ pemohon bertanggungjawab mengemukakan dua salinan hasil kajian kepada Jabatan Penjara Malaysia (dialamatkan kepada Pengarah Kanan Dasar Kepenjaraan, Ibu Pejabat Penjara Malaysia).

16. Pihak pengkaji/ pemohon dikehendaki menyumbang sekurang-kurangnya satu artikel berkaitan kajian yang dijalankan untuk dimuatkan dalam Malaysia Correctional Journal.

17. Arahan-arahan lain dari semasa ke semasa.


Bahagian Dasar Kepenjaraan
Ibu Pejabat Penjara Malaysia