Nilai |
Dalam mencapai wawasan dan matlamat, kami akan patuhi nilai-nilai berikut : |
Integriti ialah asas kepada semua perkara yang kami lakukan |
Kami akan memenuhi kewajipan perundangan, bertindak dengan amanah dan berterus terang, serta mengendalikan kewangan juga harta awam secara berkesan. |
Komited kepada kakitangan dan bertanggungjawab kepada mereka |
Kakitangan merupakan aset penting dalam perkhidmatan penjara. Mereka diamanahkan untuk maju dan menggunakan kecekapan serta kebolehan mereka sepenuhnya, bertanggungjawab ke atas segala tindak-tanduk mereka. Bekerja dengan penuh semangat berpasukan. Mereka akan dilayan dengan adil, hormat dan secara 'terbuka' dan kesejahteraan hidup mereka akan menjadi perhatian utama. |
Mengambil berat terhadap pesalah-pesalah |
Pesalah-pesalah akan dilayan dengan adil, saksama dan dihormati sebagai individu. Hukuman mereka ialah sekatan kepada kebebasan tetapi mereka berhak kepada satu norma hidup yang tertentu yang diperakui semasa di penjara. Dalam pekerjaan, kami akan melibatkan keluarga mereka dan anggota lain dalam masyarakat seberapa yang boleh. |
Persamaan peluang |
Kami percaya kepada persamaan peluang dan menyingkir diskriminasi atas alasan yang tidak munasabah. |
Inovasi dan penambahbaikan |
Inovasi dan penambahbaikan penting untuk kejayaan perkhidmatan, sentiasa menerima perubahan dan kemajuan yang berterusan dalam mempertingkatkan kualiti dan memastikan keberkesanannya. |
Kod Etika |
PENDAHULUAN |
Kod Etika Pegawai Penjara hendaklah dijadikan pegangan oleh semua pegawai penjara dalam melaksanakan tanggungjawab dan tugas harian. Dengan berpandukan Kod Etika ini pegawai penjara bukan saja mampu mempertingkatkan disiplin diri malah akan berkeupayaan meningkatkan imej dan prestasi jabatan menjadi sebuah agensi koreksional bertaraf dunia. |
Kod Etika ini ditulis dalam bentuk yang umum supaya penafsirannya merangkumi keperluan kategori staf pelbagai pangkat mengikut konteks tugas, peranan dan tanggungjawab masing-masing. |
Kewujudan Kod Etika ini hendaklah dibaca, difahami dan digunapakai selaras dengan peruntukan undang-undang, peraturan dan prosedur sedia ada sebagaimana yang telah ditetapkan. Kod Etika ini diharapkan akan dijadikan landasan oleh pegawai penjara dalam memartabatkan sumber manusia sebagai modal insan yang menjadi aset terpenting kepada piawaian pencapaian kecemerlangan jabatan. |
Kod etika ini digubal berpandukan kepada prinsip, nilai dan etika kerja sosial, nilai dan etika dalam perkhidmtan awam serta peraturan / pekeliling/ arahan perkhidmatan awam sedia ada yang berkaitan. |
Objektif Kod Etika |
Pegawai Penjara adalah seperti berikut : |
Menerapkan sikap kerja positif dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan bagi mempertingkatkan kualiti kerja. |
Membentuk disiplin, kredebiliti dan integriti pegawai penjara yang bertugas sebagai pegawai pemulihan di institusi koreksional. |
Mewujudkan suasana kerja yang harmoni dan kondusif bagi mempertingkatkan kecemerlangan prestasi dan imej jabatan. |
Menyemarakkan budaya kerjasama, adil dan saksama, muafakat dan berfokuskan kepada kejayaan kumpulan. |
Menghasilkan perkhidmatan yang berkualiti dengan mengamalkan penggunaan sumber yang terancang, cekap dan berkesan. |
Menjadikan Jabatan Penjara Malaysia sebagai sebuah agensi koreksional yang responsif dan proaktif kepada perubahan yang berlaku sepanjang masa. |
NILAI-NILAI TERAS : Untuk memastikan bahawa penumpuan kepada pencapaian objektif Jabatan Penjara Malaysia, maka semua pegawai penjara perlu melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab berasaskan nilai-nilai teras seperti berikut : |
AMANAH : Memelihara dan melaksanakan tugas serta tanggungjawab mengikut agama, undang-undang dan peraturan-peraturan tanpa mengambil kesempatan dan kepentingan diri. |
BIJAKSANA : Bertindak dengan penuh hemah dan rasional dengan menggunakan segala sumber yang ada ke arah pencapaian matlamat dan hasil yang berkualiti. |
BENAR : Membuat penyataan samada secara lisan atau penulisan berdasarkan apa yang didengar atau dilihat tanpa sebarang pengurangan atau penambahan fakta. |
TELUS: Menyampaikan sesuatu melalui perbuatan (termasuk penulisan dan percakapan) kepada yang sepatutnya (hak) dengan jelas dan terbuka tanpa berselindung. |
ADIL : Membuat sesuatu keputusan serta malaksanakan tindakan mengikut kehendak undang-undang dan peraturan yang ditetapkan dengan berani tanpa pilih kasih dan dipengaruhi oleh mana-mana pihak. |
BERSYUKUR : Menghargai dan redha di atas nikmat dan pemberian dengan menzahirkan melalui tindakan bekerja dengan penuh tekun, patuh kepada arahan, sabar menerima dugaan dan sanggup mengorbankan masa dan tenaga demi kepentingan jabatan, negara dan agama. |
PRINSIP |
KEPATUHAN KEPADA UNDANG-UNDANG DAN PERATURAN Pegawai Penjara sentiasa menjunjung tinggi Perlembagaan Malaysia, Sistem Perundangan Negara dan mematuhi apa jua peraturan yang dikuatkuasakan serta elemen-elemennya secara profesional dengan had-had yang ditetapkan. |
KEWIBAWAAN PERIBADI Pegawai Penjara berkewajipan menampilkan kewibawan peribadi yang merangkumi komitmen kepada kecemerlangan, berdisiplin serta mempunyai sahsiah profesional diri yang boleh diteladani secara konsisten dan berkesan. |
KREDIBILITI Pegawai Penjara pada setiap masa akan berkhidmat dengan penuh dedikasi, jujur, amanah, berdisplin, rajin, cekap, tegas, berterus terang, berani dan komited dalam mengangkat martabat dan imej jabatan. |
AKAUNTABILITI Pegawai Penjara perlu mempunyai akauntabiliti yang tinggi serta bertanggungjawab di dalam menjalankan tugas tanpa menyalahgunakan kuasa dan kedudukan untuk kepentingan peribadi atau lain-lain yang berkepentingan. |
INTEGRITI Pegawai Penjara perlu mengamalkan nilai-nilai kejujuran, keikhlasan dan keluhuran dalam semua urusan. |
PROFESIONAL Pegawai Penjara kan sentiasa berusaha memajukan diri dalam pelbagai bidang pengetahuan dan kemahiran bagi meningkatkan mutu perkhidmatan yang cekap, cepat dan berkesan serta memiliki ciri-ciri kreatif, inovatif dan bermotivasi. |
KERAHSIAAN Pegawai Penjara dilarang sama sekali menyalur atau menyebarkan sebarang maklumat rahsia jabatan seperti dokumen-dokumen, rekod-rekod, fail-fail, risalah-risalah, buku-buku catatan atau seumpamanya yang boleh dieksploitasikan atau dimanipulasi dan boleh mengancam keselamatan sistem pengurusan penjara. |
SALING MENGHORMATI Pegawai Penjara perlu sentiasa saling hormat menghormati antara satu sama lain tanpa mengira pangkat dan kedudukan, bersikap positif, bertolak ansur, berfikiran terbuka dan sentiasa bekerjasama sebagai satu pasukan dalam melaksanakan tugas demi kepentingan jabatan. |
MELINDUNGI HAK-HAK PENGHUNI Pegawai Penjara sentiasa menghormati dan melindungi hak-hak penghuni dan dilarang mengamalkan sikap diskriminasi, penganiayaan, kekerasan atau menjatuhkan maruah mereka tanpa mengira bangsa, agama, jantina, status perkahwinan, umur, keupayaan, kefahaman politik dan negara asal mereka. |
LAYANAN YANG ADIL KEPADA PENGHUNI Pegawai Penjara hendaklah bersikap adil dan saksama terhadap penghuni dengan berlandaskan prinsip kemanusiaan terutama dalam membuat pertimbangan ke atas rayuan,keputusan dan hukuman dengan mengambil kira peruntukan undang-undang, hak kebebasan dan kerahsiaan yang boleh mengaibkan individu atau mana-mana pihak yang berkaitan. |
TATAKELAKUAN |
Seseorang pegawai hendaklah pada setiap masa memberikan taat setianya yang tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong, negara, kerajaan dan badan berkanun. |
Seseorang pegawai tidak boleh :- (a) membelakangkan kewajipannya kepada badan berkanun demi kepentingan peribadinya; (b) berkelakuan dengan sedemikian cara yang mungkin menyebabkan kepentingan peribadinya bercanggah dengan kewajipannya kepada badan berkanun; (c) berkelakuan dengan apa-apa cara yang mungkin menyebabkan syak yang munasabah bahawa |
(i) Dia telah membiarkan kepentingan peribadinya bercanggah dengan kewajipannya kepada badan berkanun sehingga menjejaskan kebergunaannya sebagai seorang pegawai badan berkanun; atau |
(ii) Dia telah menggunakan kedudukannya sebagai seorang pegawai badan berkanun bagi faedahnya sendiri; |
(d) berkelakuan dengan sedemikian cara sehingga memburukkan atau mencemarkan nama badan berkanun; |
(e) kurang cekap atau kurang berusaha; |
(f) tidak jujur atau tidak amanah; |
(g) tidak bertanggungjawab; |
(h) membawa atau cuba membawa apa-apa bentuk pengaruh atau tekanan luar untuk menyokong atau memajukan apa-apa tuntutan berhubung dengan atau terhadap badan berkanun, sama ada tuntutan itu ialah tuntutannya sendiri atau tuntutan mana-mana pegawai lain badan berkanun; |
(i) ingkar perintah atau berkelakuan dengan apa-apa cara yang boleh ditafsirkan dengan munasabah sebagai ingkar perintah; dan |
(j) cuai dalam melaksanakan tugas-tugasnya |
GANGGUAN SEKSUAL |
Dilarang melakukan gangguan seksual iaitu |
(a) Cubaan merapati / Meminta layanan seksual ; atau |
(b) Melakukan perbuatan bersifat seksual menyebabkan seseorang yang waras tersinggung, terhina atau terugut. |
Bentuk perbuatan bersifat seksual; |
(a) Secara lisan , bertulis dan lain-lain |
(b) Tidak terhad di tempat kerja /waktu kerja selagi mencemarkan imej perkhidmatan awan |
CONTOH PELANGGARAN -Bercerita / jenaka /isyarat lucah |
PEKERJAAN LUAR |
Melainkan jika dan setakat yang dia dikehendaki atau dibenarkan untuk berbuat demikian dalam perjalanan tugasnya sebagai seorang pegawai badan berkanun, seseorang pegawai tidak boleh :- |
(a) mengambil bahagian secara langsung atau tidak langsung, dalam pengurusan atau urusan apa-apa pengusahaan komersial, pertanian atau perindustrian; |
(b) mendapatkan upah dari apa-apa kerja dengan mana-mana institusi, syarikat, firma atau individu persendirian; |
(c) sebagai seorang pakar, memberikan apa-apa laporan atau memberikan apa-apa keterangan, sama ada secara percuma atau dengan dibayar upah. |
Walau apa pun subperaturan (1), seseorang pegawai boleh mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Jabatannya. |
Ketua Jabatan hendaklah memberikan perhatian dan hendaklah memastikan bahawa aktiviti atau perkhidmatan itu :- |
(a) tidak dilakukan dalam waktu pejabat dan semasa pegawai itu dikehendaki melaksanakan tugas rasminya; |
(b) tidak akan dengan apa-apa cara cenderung menjejaskan kebergunaan pegawai itu sebagai seorang pegawai badan berkanun. |
(c) tidak akan dengan apa-apa cara cenderung bercanggah dengan kepentingan badan berkanun, atau menjadi tidak selaras dengan kedudukan pegawai itu sebagai seorang pegawai badan berkanun. |
CONTOH PELANGGARAN |
-Memandu teksi selepas waktu pejabat tanpa kebenaran -Menjalankan perniagaan pasar malam, menjadi pengawal keselamatan dan pekerjaan lain tanpa kebenaran -Menjalankan perniagaan 0n-line pada waktu pejabat |
ETIKET PAKAIAN |
Semasa bertugas hendaklah sentiasa berpakaian dengan sepatutnya yang ditentukan oleh kerajaan melalui arahan y ang di keluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam |
Seseorang pegawai yang dikehendaki menghadiri sesuatu upacara rasmi hendaklah berpakaian sebagaimana yang ditentukan bagi upacara itu, dan jika etiket pakaian bagi upacara itu tidak ditentukan, dia hendaklah berpakaian yang sesuai bagi upacara itu. |
CONTOH PELANGGARAN |
-Memakai singlet atau baju-t tanpa kolar -Memakai kain sarung, seluar pendek dan lain-lain -Tidak memakai batik malaysia pada hari khamis seperti yang ditetapkan di dalam spp1/2008 |
DADAH |
Seseorang pegawai tidak boleh menggunakan atau mengambil apa-apa dadah berbahaya, kecuali sebagaimana yang dipreskripsikan untuk kegunaannya bagi maksud perubatan oleh pengamal perubatan yang didaftarkan di bawah Akta Perubatan 1971 [Akta 50], atau menyalahgunakan atau menagih apa-apa jenis dadah berbahaya. |
Jika seseorang Pegawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa seseorang pegawai menggunakan atau mengambil, selain bagi maksud perubatan, suatu dadah berbahaya atau menyalahgunakan atau menagih suatu dadah berbahaya, pegawai itu boleh dikenakan tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja. |
Walau apa pun subperaturan (2), perkhidmatan seseorang pegawai yang telah diperakui oleh seorang Pegawai Perubatan Kerajaan menggunakan atau mengambil, selain bagi maksud perubatan, suatu dadah berbahaya atau menyalahgunakan atau menagih suatu dadah berbahaya boleh ditamatkan demi kepentingan awam di bawah Bahagian II Akta ini |
Bagi maksud peraturan ini, “dadah berbahaya” ertinya apa-apa dadah atau bahan yang disenaraikan dalam Jadual Pertama kepada Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234]. |
CONTOH PELANGGARAN |
-Penyalahgunaan dan menagih dadah seperti ganja, morfin, heroin dan lain-lain |
HADIAH |
Tertakluk kepada peruntukan Peraturan ini, seseorang pegawai tidak boleh menerima atau memberikan dan tidak boleh membenarkan isteri atau suaminya atau mana-mana orang lain untuk menerima atau memberikan bagi pihaknya apa-apa hadiah, sama ada dalam bentuk zahir atau selainnya, daripada atau kepada mana-mana orang, persatuan, badan atau kumpulan orang jika penerimaan atau pemberian hadiah itu dalam apa-apa segi mempunyai kaitan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dengan tugas rasminya. |
Ketua Jabatan boleh, jika difikirkannya patut, membenarkan pegawai itu untuk menerima suatu surat pujian daripada mana-mana orang, persatuan, badan atau kumpulan orang sempena persaraan atau pertukaran pegawai itu asalkan surat pujian itu tidak terkandung dalam suatu bekas yang bernilai. |
Ketua Jabatan boleh membenarkan pungutan sumbangan secara spontan oleh pegawai di bawah jagaannya bagi maksud pemberian hadiah kepada seseorang pegawai di jabatannya sempena persaraan, pertukaran atau perkahwinan pegawai itu atau apa-apa peristiwa lain yang sesuai |
Jika hal keadaan menyebabkan sukar bagi seseorang pegawai untuk menolak sesuatu hadiah atau cenderamata yang bernilai, yang penerimaannya dilarang oleh Peraturan ini, hadiah itu bolehlah diterima secara rasmi tetapi pegawai itu hendaklah, dengan seberapa segera yang praktikal, mengemukakan satu laporan bertulis kepada Ketua Jabatan yang mengandungi perihalan lengkap dan anggaran nilai hadiah itu dan hal keadaan hadiah itu diterima. |
Apabila diterima laporan yang dibuat di bawah subperaturan (4), Ketua Jabatan hendaklah— (a) membenarkan pegawai itu menyimpan hadiah itu; atau (b) mengarahkan supaya hadiah itu dikembalikan, melalui Ketua Jabatan itu, kepada pemberinya. |
CONTOH PELANGGARAN |
-Memberi hadiah kepada pegawai -Menerima hadiah dari orang yang ada kepentingan |
KERAIAN |
Seseorang pegawai boleh memberi atau menerima daripada mana-mana orang apa-apa jenis keraian jika |
(a) keraian itu tidak dalam apa-apa cara mempengaruhi pelaksanaan tugas-tugasnya sebagai seorang pegawai badan berkanun untuk kepentingan orang itu; dan |
(b) pemberian atau penerimaan keraian itu tidak dalam apa-apa cara menjadi tidak selaras dengan peraturan 4. |
CONTOH PELANGGARAN |
Kontraktor meraikan Ketua Jabatan yang menjadi Ahli Lembaga Tender contoh Keraian :- belanja makan, hotel, tambang bercuti dan lain-lain |
PEMUNYAAN HARTA |
Seseorang pegawai hendaklah, apabila dilantik ke perkhidmatan sesuatu badan berkanun atau pada bila-bila masa selepas itu sebagaimana yang dikehendaki oleh Lembaga, mengisytiharkan secara bertulis kepada Jawatankuasa Tatatertib yang berkenaan, melalui Ketua Jabatannya, segala harta yang dipunyai olehnya atau oleh isteri atau suaminya atau anaknya atau yang dipegang oleh mana-mana orang bagi pihaknya atau bagi pihak isteri atau suaminya atau anaknya. |
Seseorang pegawai yang tidak mempunyai apa-apa harta hendaklah membuat suatu perisytiharan secara bertulis yang menyatakan sedemikian. |
Jika, selepas membuat suatu perisytiharan di bawah subperaturan (1), seseorang pegawai atau isteri atau suaminya atau anaknya memperoleh apa-apa harta, sama ada secara langsung atau tidak langsung, atau apa-apa harta yang telah diperoleh olehnya atau oleh isteri atau suaminya atau anaknya dilupuskan, pegawai itu hendaklah dengan segera, melalui Ketua Jabatannya, mengisytiharkan pemerolehan atau pelupusan harta itu kepada Jawatankuasa Tatatertib yang berkenaan. |
Jika seseorang pegawai atau isteri atau suaminya atau anaknya bercadang hendak memperoleh apa-apa harta, dan pemerolehan itu adalah tidak selaras dengan peraturan 3, pemerolehan itu tidak boleh dibuat tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis daripada Jawatankuasa Tatatertib yang berkenaan. |
Dalam memutuskan sama ada atau tidak hendak memberikan kebenaran di bawah subperaturan (4), Jawatankuasa Tatatertib yang berkenaan hendaklah mengambil kira perkara-perkara yang berikut: |
(a) saiz, amaun atau nilai harta itu berbanding dengan emolumen pegawai itu dan apa-apa pendapatan persendirian yang sah; |
(b) sama ada pemerolehan atau pemegangan harta itu akan atau mungkin akan bercanggah dengan kepentingan badan berkanun, atau dengan kedudukan pegawai itu sebagai seorang pegawai badan berkanun, atau dengan apa-apa cara menjadi tidak selaras dengan peraturan 3; |
(c) ulasan Ketua Jabatan tentang pemerolehan atau pemunyaan harta itu; |
(d) apa-apa faktor lain yang dianggap perlu oleh Jawatankuasa Tatatertib yang berkenaan bagi menjaga keutuhan dan kecekapan badan berkanun dan pegawai-pegawai badan berkanun. |
Ketua Jabatan hendaklah, jika dia berpuashati dengan perisytiharaan harta yang dibuat oleh pegawai itu mengarahkan supaya ia dicatatkan di dalam rekod perkhidmatan pegawai itu bahawa peristiharaan sedemikian telah dibuat. |
Tiap-tiap perisytiharan di bawah subperaturan (l) hendaklah diklasifikasikan sebagai rahsia dan tiap-tiap orang yang memperoleh maklumat di bawah peraturan ini tentang apa-apa perisytiharan sedemikian hendaklah menyimpan kerahsiaannya. |
Bagi maksud peraturan ini, “harta” ertinya apa-apa harta, sama ada harta alih atau harta tak alih, yang pegawai itu dikehendaki dari semasa ke semasa oleh Lembaga supaya mengisytiharkannya, iaitu harta yang telah diperoleh oleh pegawai itu melalui pembelian, pemberian, pewarisan atau cara lain, dan termasuk harta yang diperoleh atau dipegang oleh isteri atau suami atau anak pegawai itu. |
CONTOH PELANGGARAN -Tidak melaporkan pembelian rumah, kereta dll -Tidak melaporkan pelupusan rumah, kereta dll |
MEMINJAM WANG |
Tiada pegawai boleh meminjam daripada mana-mana orang atau menjadi penjamin kepada mana-mana peminjam, atau dengan apa-apa cara meletakkan dirinya di bawah suatu obligasi kewangan kepada mana-mana orang :- |
(a) yang secara langsung atau tidak langsung tertakluk kepada kuasa rasminya; (b) yang dengannya pegawai itu ada atau mungkin ada urusan rasmi; (c) yang tinggal atau memiliki tanah atau menjalankan perniagaan di dalam kawasan tempatan tempat dia mempunyai kuasa rasmi; atau (d) yang menjalankan perniagaan pemberian pinjaman wang. |
Walau apapun subperaturan (1), seseorang pegawai boleh meminjam wang daripada, atau menjadi penjamin kepada mana-mana orang yang meminjam wang daripada, mana-mana institusi kewangan, penanggung insurans atau koperasi atau menanggung hutang dengan cara pemerolehan barang-barang melalui perjanjian sewa beli, jika :- |
(a) institusi kewangan, penanggung insurans atau koperasi yang daripadanya pegawai itu meminjam tidaklah secara langsung tertakluk kepada kuasa rasminya; (b) peminjaman itu tidak dan tidak akan membawa kepada skandal awam dan tidak boleh ditafsirkan sebagai suatu penyalahgunaan oleh pegawai itu kedudukannya sebagai seorang pegawai Majlis untuk faedah peribadinya; dan (c) agregat hutangnya tidak atau tidak mungkin menyebabkan pegawai itu berada dalam keterhutangan kewangan yang serius sebagaimana yang ditakrifkan di bawah subperaturan 13(7) dan (8). |
Tertakluk kepada subperaturan (2), seseorang pegawai boleh menanggung hutang yang berbangkit daripada :- |
(a) jumlah wang yang dipinjam atas cagaran tanah yang digadaikan atau digadaijanjikan, jika jumlah wang yang dipinjam itu tidak melebihi nilai tanah itu; (b) overdraf atau kemudahan kredit lain yang diluluskan oleh institusi kewangan; (c) jumlah wang yang dipinjam daripada penanggung insurans atas cagaran polisi insurans; (d) jumlah wang yang dipinjam daripada Kerajaan Negeri, Majlis atau mana-mana koperasi; atau (e) jumlah wang yang kena dibayar atas barang-barang yang diperoleh melalui perjanjian sewa beli. |
CONTOH PELANGGARAN -Penjamin yang gagal membayar hutang peminjam dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan perintah mahkamah. -Peminjam diisytihar bankrap oleh mahkamah dan gaji dipegang / urus oleh Amanah Raya.Gaji tidak mencukupi untuk melepaskan tanggungan. |
KETERHUTANGAN WANG YANG SERIUS |
Seseorang pegawai tidak boleh dengan apa-apa cara menyebabkan dirinya berada dalam keterhutangan kewangan yang serius. |
Keterhutangan kewangan yang serius kerana apa-apa jua pun sebab, selain akibat malang yang tidak dapat dielakkan yang tidak disebabkan dengan apa-apa cara oleh pegawai itu sendiri, hendaklah dianggap sebagai memburukkan nama badan berkanun dan hendaklah menyebabkan pegawai itu boleh dikenakan tindakan tatatertib. |
Jika keterhutangan kewangan yang serius telah berlaku akibat malang yang tidak dapat dielakkan, Lembaga boleh memberi pegawai itu apa-apa bantuan sebagaimana yang wajar mengikut hal keadaan. |
Jika seseorang pegawai mendapati bahawa hutangnya menyebabkan atau mungkin menyebabkan keterhutangan kewangan yang serius kepadanya, atau suatu prosiding sivil berbangkit daripada hutang itu telah dimulakan terhadapnya, dia hendaklah dengan serta-merta melaporkan hakikat ini kepada Ketua Jabatannya. |
Seseorang pegawai yang tidak melaporkan atau lengah melaporkan keterhutangan kewangannya yang serius atau yang melaporkan keterhutangan kewangannya yang serius tetapi tidak mendedahkan takat keberhutangannya itu dengan sepenuhnya atau memberikan keterangan yang palsu atau yang mengelirukan mengenai keterhutangannya melakukan suatu pelanggaran tatatertib dan boleh dikenakan tindakan tatatertib. |
Tanpa menjejaskan peruntukan-peruntukan lain dalam peraturan ini, jika hutang pegawai itu terjumlah kepada suatu keterhutangan kewangan yang serius tetapi dia belum dihukum bankrap, Ketua Jabatan hendaklah memantau dan, dari semasa ke semasa, mengkaji semula kes itu. |
Bagi maksud peraturan ini, ungkapan “keterhutangan kewangan yang serius” ertinya keadaan keterhutangan seseorang pegawai yang, setelah diambil kira amaun hutang yang ditanggung olehnya, telah sebenarnya menyebabkan kesusahan kewangan yang serius kepadanya. |
Tanpa menjejaskan pengertian am ungkapan keterhutangan kewangan yang serius yang dinyatakan dalam subperaturan (7), seseorang pegawai hendaklah disifatkan sebagai berada dalam keterhutangan kewangan yang serius jika :- |
(a) agregat hutang dan nilai tanggungan tidak bercagarnya pada bila-bila masa tertentu melebihi enam kali emolumen bulanannya; (b) dia ialah seorang penghutang penghakiman dan hutang penghakiman itu tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan dalam penghakiman itu; (c) dia ialah seorang bankrap, selagi dia belum dilepaskan daripada kebankrapan atau penghakiman kebankrapannya belum dibatalkan. |
Sumber Maklumat : Unit Integriti
Tarikh : November 2017