Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Bin Yassin, Yang Berhormat Anggota - Anggota Pentadbiran dan semua warga Jabatan Perdana Menteri yang saya hormati sekalian. Terutamanya bagi mereka yang bergegas nak naik bukit tadi nak sampai ke majlis kita, mereka tidak terlambat sebenarnya. Saya sampai lebih awal sedikit. Tapi saya dapat melihat tahap kecergasan setiap seorang tadi. Tapi majlis kita pagi ini bukanlah untuk membicarakan soal samada kita ini cergas atau tidak.
Saya ingin melihat dari segi kedudukan Negara kita pada keseluruhannya dan dasar - dasar yang kita sedang amalkan. Dan juga sedikit tentang bagaimana kita boleh melakukan penambahbaikan pembangunan pada diri kita sendiri dalam konteks 'Self Development' dan 'Self Improvement'.
Salah satu daripada keperluan kalau kita hendak melakukan 'Self Improvement' dan 'Self Development' ini ialah dengan menambahkan ilmu pada diri kita. Bukanlah ilmu bererti kata bahawa kita sudah selesai proses di Universiti dan sebagainya tetapi ilmu dalam segala aspek samada kerja seharian kita, ataupun pengetahuan kita tentang keadaan pada keseluruhannya dalam negeri dan luar negeri. Dari segi agama, Allah telah menjanjikan sesiapa yang ada ilmu, Allah akan naikkan martabatnya.
Jadi salah satu daripada punca ilmu ialah membaca buku, budaya membaca buku. Antara buku yang pada pengamatan saya antara yang terbaik yang mengandungi banyak panduan dan tunjuk ajar pada kita ialah sebuah buku yang berjudul 'Why Nation Fail: The Origins of Power, Prosperity and Poverty'. Tanpa memberi kuliyah tentang buku tersebut secara mendalam, Saya cuma nak petik pengenalan pada buku itu. Premisnya ialah satu bandar yang terbahagi kepada dua sebenarnya. Satu Nogales, di Arizona, satu lagi Nogales Sonora di Mexico, terbahagi dengan sempadannya ada pagar yang memisahkan Arizona dan Mexico.
Persoalannya kenapa satu kumpulan etnik yang sama yang tidak ada bezanya dari segi iklim, keturunan dan sebagainya. Kenapa satu kelompok jauh lebih maju dan satu lagi jauh ketinggalan? Kesimpulan di dalam buku ini kerana dasar dan institusi yang diamalkan dan dibangunkan tidak bersifat inklusif, tidak bersifat mampan dan kerana itu tahun demi tahun, dekad demi dekad telah mengakibatkan perpisahan dari segi kemajuan.
Dua kelompok etnik yang terbahagi oleh sempadan antara dua buah Negara. Banyak lagi contoh - contoh lain yang telah diberikan. Tapi kalau saya sebut mungkin boleh berlaku 'diplomatic sensitivity', saya tak mahu sebut. Cuma saya sebut sebagai contoh. Maknanya kalau kita nak maju sebagai sebuah Negara, dasar - dasar kita kena bersifat inklusif, dasar - dasar kita kena bersifat mampan. Dan Alhamdulillah kita boleh lihat sehari dua ini memang perkembangan ekonomi Negara kita boleh dikatakan baik. Orang Putih kata 'impressive' juga sebab tahun sudah kita telah mencatat nilai perdagangan yang tertinggi dalam sejarah kita RM1.36Trillion, 'investment' kita tertinggi dalam sejarah RM216Billion dan kadar pertumbuhan kita tahun sudah RM4.7Billion. Sebentar tadi semasa di dalam kereta, saya terlihat televisyen melaporkan, ekonomi India mengucup 4.7 peratus suku ketiga tahun sudah walhal ekonomi Negara kita berkembang 4.7 peratus sepanjang tahun 2013. Ini menunjukkan bahawa 'we're on the right track'. Pencapaian yang 'impressive' tapi kita tidak boleh bertahan setakat ini sahaja, tetapi bak kata ibarat 'self improvement' pada diri kita sebagai individu, sebagai sebuah Negara pun kita mesti berusaha untuk melakukan penambahbaikan untuk Negara kita supaya kita boleh mencapai kadar pertumbuhan yang tinggi ataupun sederhana tinggi. Banyak Negara lain bergelut dalam pelbagai masalah, ekonomi dunia masih tidak menentu tapi kita mesti buat persediaan, kita mesti buat langkah proaktif supaya perkembangan ekonomi kita bertambah, lebih tinggi dan kita boleh mencapai hasrat kita untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara maju menjelang tahun 2020.
Sebab itu kita kena lakukan rasionalisasi subsidi. Kita belanja RM22Billion untuk subsidi minyak, subsidi dan insentif keseluruhannya RM40Billion walhal kita belanja untuk pembangunan sebanyak RM46Billion sahaja. Kita lihat bahawa ini tidak seimbang sebab bila kita belanja terlalu banyak untuk subsidi berlakunya ketirisan, berlakunya pembaziran, berlakunya ketidakadilan. Saya sudah bagi contoh bagaimana kita ada kereta Myvi dan kereta yang besar. Kereta yang kecil kita untung cuma RM900 dan kalau kereta yang besar setahun kita untung RM2, 400. Ini tidak adil. Pembaziran pun banyak berlaku. Orang yang tidak patut dapat subsidi diesel, dapat subsidi diesel, orang yang menyeludup diesel lebih untung dan sebagainya. Banyak lagi contoh - contoh yang lain.
Lebih baik kita kurangkan subsidi pukal ini kepada subsidi bersasar melalui BR1M, dan BR1M 3.0 ini, kita akan beri kepada lebih 7 juta isi rumah dengan peruntukan sebanyak RM4.6Billion. Bila kita bagi RM4.6Billion, hari pertama yang kita lancar BR1M, kita dapat lihat dan saya dapat maklumat ramai yang pergi ke Sogo, Pasar Tani, Pasar Minggu dan sebagainya pada hari Sabtu dan Ahad. Jadi ekonomi tempatan berkembang selain itu individu dapat manfaat secara langsung daripada subsidi pukal. Dan kalau kita lihat dari segi teori ekonomi maknanya bila kita dapat kurangkan subsidi kita boleh tambah peruntukan pembangunan, saya berharap dalam Rancangan Malaysia ke-11 nanti kita boleh tambah lagi peruntukan untuk pembangunan sebab banyak lagi yang perlu kita lakukan.
Kementerian Pendidikan minta sekolah tambahan, sekolah vokasional lagi, sekolah baru, terpaksa kita bangunkan. Bekalan air sehari dua ini menjadi cerita, macamana kita kena tambah kapasiti loji kita, jalan di luar bandar, dalam bandar, macam - macam yang terpaksa kita kena lakukan. Bila kemarau, kita teringat loji air. Bila banjir, kita nak penempatan banjir. Satu-satu projek bukannya kecil tetapi besar kosnya. Jadi perbelanjaan untuk peruntukan pembangunan Negara kita ini mesti kita tambah lagi dan kita tidak boleh tambah melalui tambahan hutang. Jika hutang kita terus bertambah, ekonomi Negara kita akan merudum nanti.
Jadi, inilah yang saya nak terangkan bahawa dasar ini memang tepat walaupun sehari dua ini ada timbul tentang kos kenaikan sara hidup, bukan kita tak sensitif, kita amat sensitif, kita wujudkan jawatankuasa kabinet di bawah Timbalan Perdana Menteri. Kita buat langkah - langkah. Timbalan Perdana Menteri turun sampai ke pasar meninjau harga ayam, tengok harga sayur. Saya pun turun juga tengok belek - belek ikan dan sebagainya. Kita turun dan kita lakukan pelbagai usaha. Dan sehari dua kita lihat bahawa harga telah semakin lebih stabil lagi.
Dan inilah yang perlu saya terangkan, percayalah bahawa kita memang memberi perhatian kepada masalah rakyat dan bila ekonomi Negara kita bertambah kukuh lagi kita dapat menolong rakyat termasuk kebajikan penjawat - penjawat awam dan sebagainya. Kita tak lupa pada tuan - tuan dan puan - puan. Jadi inilah saya nak terangkan supaya kita semua faham bahawa kita berada di atas landasan yang tepat. Kalau ada orang yang tidak puas hati kita terangkan, berkomunikasi dengan jelas. Ini adalah pengukuhan ekonomi dan akhirnya rakyat akan dapat manfaat dan Malaysia mampu mencapai status Negara maju.
Saya berharap kita semua akan terus memberi sokongan yang padu kepada dasar - dasar Kerajaan. Kita lakukan yang terbaik untuk sesama kita, supaya dengan bermuafakatan yang lebih kukuh, prestasi kita akan meningkat dan terus meningkat lagi. Terima kasih.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
3 Mac 2014.
""