Assalamualaikum warahmatullahihiwabarakatuh dan Salam 1Malaysia.
1. Terlebih dahulu marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan inayah- Nya kita dapat berhimpun pada pagi ini, dalam Majlis Sambutan Hari Jabatan Penjara Malaysia yang ke 162 tahun.
Saya mewakili seluruh warga Jabatan Penjara Malaysia, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kesudian YB Datuk Wira Abu Seman bin Yusop, Timbalan Menteri Dalam Negeri untuk hadir dan seterusnya menyempurnakan majlis sambutan Hari Jabatan Penjara pada hari ini.
2. Sesungguhnya kehadiran YB Datuk Wira pada pagi ini merupakan satu lagi sejarah yang pastinya akan menjadi kenangan indah untuk seluruh warga Jabatan Penjara Malaysia. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kehadiran Dif-Dif Kehormat dan semua jemputan untuk sama sama menyerikan majlis pada pagi ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
3. Hari Jabatan Penjara Malaysia akan disambut pada bulan November setiap tahun dan tema sambutan pada kali ini ialah 'Bersatu Menjayakan Transformasi'. Tema ini telah dipilih kerana Jabatan Penjara Malaysia ingin menzahirkan pada masyarakat di luar bahawa pegawai dan kakitangannya sentiasa bersatu hati dalam melancarkan momentum transformasi kerajaan.
4. Justeru itu saya mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan komitmen yang berterusan dari Jabatan Penjara dan warga kerjanya terhadap setiap usaha yang dibuat demi kesejahteraan negara yang kita cintai ini. Kami sentiasa percaya bahawa usaha dalam bidang koreksional ini adalah usaha murni. Walaupun mempunyai latarbelakang serta pandangan yang berbeza, kami akan tetap bersatu demi menjayakan amanah ini bagi memperkasakan perkhidmatan dengan harapan dapat memartabatkan agama, bangsa dan negara.
5. Sambutan Hari Jabatan Penjara Malaysia bertujuan menghargai sumbangan dan khidmat bakti terhadap individu, organisasi dan juga tanda penghargaan terhadap seluruh wargakerja Jabatan Penjara Malaysia. Sesungguhnya kerana sokongan warga kerja jabatan ini dan sokongan pelbagai pihak telah membantu Jabatan Penjara Malaysia memantapkan lagi fungsinya sebagai organisasi koreksional yang berwibawa.
Hadirin yang dihormati sekalian,
6. Menyingkap sejarah lalu, sedar atau tidak usia Jabatan ini telah mencecah 162 tahun. Banyak sejarah terukir, berjuta pengalamannya telah dilalui dan di sebalik tembok batu ini juga tersimpan 1001 cerita suka dan duka yang tidak mudah dirungkai tetapi tetap kami jadikan pedoman ke arah mencapai kecemerlangan. Pada masa lalu, penjara adalah satu tempat yang terlalu digeruni untuk didekati. Pendekatan yang digunakan hanyalah hukuman agar individu terlibat serik untuk melakukan jenayah. Namun, penjara kini telah berubah berbentuk pemulihan dan pemasyarakatan serta terbuka kepada masyarakat untuk bersama-sama menjayakan program pemulihan di dalam dan luar tembok penjara.
Hadirin yang dihormati sekalian
7. Jabatan Penjara Malaysia sentiasa mengambil langkah dalam membasmi jenayah dengan memastikan penurunan kadar residivis pada setiap tahun. Kami sedar masyarakat di luar menaruh harapan dan peka kepada peranan pemulihan yang dimainkan agar dapat melahirkan bekas penghuni yang terlatih serta telah pulih sahsiahnya. Oleh itu, marilah kita menjunjung amanah ini dengan memastikan tanggungjawab "melindungi keselamatan masyarakat melalui program pemulihan penghuni yang efektif" tercapai sebagaimana yang diharapkan oleh kerajaan dan rakyat.
8. Bagi menjayakan usaha tersebut, suka saya mengingatkan kepada seluruh warga kerja jabatan ini agar sentiasa menerokai ilmu pengetahuan yang lebih luas, berinovatif, berdaya tahan, berkeyakinan serta melipat gandakan usaha ke arah meningkatkan penyampaian perkhidmatan. Setiap risiko, halangan serta masalah yang wujud perlu dianggap sebagai cabaran yang akan menggandakan lagi usaha kita.
9. Kami akan sentiasa memberi sokongan terhadap inisiatif yang diambil oleh pihak kerajaan. Kami yakin langkah dan usaha tersebut bukan sahaja memberi faedah kepada bekas penghuni tetapi turut memberikan manfaat kepada masyarakat dan negara. Di harapkan kesemua inisiatif yang dilaksanakan ini diharap mampu memperkukuhkan peranan Jabatan Penjara sebagai organisasi koreksional bertaraf dunia menjelang 2020 serta turut membangkitkan kesedaran kepada masyarakat agar terus melibatkan diri dalam proses pemulihan penghuni penjara.
Hadirin yang dihormati sekalian
10. Justeru itu, tuntutan ilmu koreksional terus di beri perhatian, dimana pada hari ini satu lagi sejarah terukir melalui majlis menandatangani MoA antara pihak Jabatan Penjara Malaysia dan Universiti Utara Malaysia ia adalah lanjutan daripada Perjanjian persefahaman pertama dimulakan tahun 2008 dalam program akademik peringkat pasca siswazah iaitu program DIPLOMA SISWAZAH SAINS KOREKSIONAL. Sehingga kini program ini menghasilkan seramai 102 orang pegawai penjara yang berkemahiran dalam bidang sains koreksional.
11. Program juga ini adalah diwujudkan khas sebagai kursus asas kepada Timbalan Penguasa Penjara KX41 lantikan baru selaras dengan keperluan pihak jabatan bagi memastikan semua anggota dapat menguasai ilmu berkaitan dengan bidang pengurusan koreksional. Program ini adalah satu-satunya program pasca siswazah koreksional di Malaysia yang memfokuskan kepada pemulihan dan pengurusan koreksional.
12. Bagi Program Persijilan pihak Jabatan Penjara dan Universiti Utara Malaysia telah memulakan kerjasama dengan program Sijil Eksekutif Amalan Koreksional yang telah pun memulakan sesi pembelajaran pada 11 Oktober 2009 di Akademi Koreksional Malaysia, Langkawi dan sehingga kini telah dilaksanakan sebanyak empat Kohort dan seramai 80 orang pegawai kanan telah tamat program ini dengan jaya.
13. Bagi memastikan kesinambungan program persijilan ini pihak jabatan dan pihak UUM telah bersetuju untuk melaksanakan dua lagi program persijilan iaitu:
i. Sijil Eksekutif Amalan Koreksional (Kerja Sosial)
ii.Sijil Eksekutif Amalan Koreksional (KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN)
14. Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapan ribuan terima kasih kepada semua agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan(NGOs), Sukarelawan Koreksional orang perseorangan dan pihak media massa yang telah banyak membantu jabatan ini dalam melaksanakan program-program pemulihan. Saya amat berharap dengan segala bimbingan yang telah kita berikan kepada penghuni, mampu membuktikan mereka telah insaf dan menjadi insan yang berguna kepada keluarga dan masyarakat.
15. Akhir kata, saya ingin merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada YB Datuk Wira Abu Seman bin Yusop, Timbalan Menteri Dalam Negeri, dif-dif jemputan, rakan-rakan media, tuan-tuan dan puan-puan sekalian kerana sudi hadir bagi memeriahkan majlis Sambutan Hari Jabatan Penjara Malaysia yang ke 162 tahun pada hari ini dan semoga usaha kita ini akan di berkati Allah S.W.T.
Sekian, terima kasih.
Wabillahi taufik walhidayah Wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh