Bismillahirrahmanirrahim.
Assalammualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Negaraku Malaysia
Yang Berbahagia Timbalan Komisioner Jeneral
Dato Jamaludin bin Saad,
Timbalan Ketua Pengarah Penjara (Pengurusan)
Yang Dihormati Pengarah-Pengarah Bahagian
Timbalan-Timbalan Pengarah
Pengarah- Pengarah Institusi Kompleks Penjara Kajang
Pegawai-pegawai kanan
Seterusnya tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian
PENDAHULUAN
1. Terlebih dahulu bersyukur saya kehadrat Allah S.W.T. kerana dengan perkenan dan keizinan-Nya jua, kita dapat bersama-sama di dalam majlis perasmian Hari ICT Jabatan Penjara Malaysia.
2. Pada kesempatan ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Dato Jamaludin bin Saad, Chief Information Officer (CIO) Jabatan Penjara Malaysia dan Bahagian Teknologi Maklumat kerana telah menganjurkan Hari ICT buat julung kalinya di Jabatan Penjara.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
3. Dunia kini di ambang The Fourth Industrial Revolution dan era ekonomi digital sebagai mana yang diucapkan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak Perdana Menteri Malaysia semasa Ucapan Perbentangan Bajet 2018. Kita dapat melihat kesungguhan kerajaan dalam melaksanakan Dasar Digital Malaysia dimana Kerajaan hari ini mempunyai visi yang menjangkau jauh ke depan serta mengambil serius akan perkembangan semasa dan berusaha melakukan langkah-langkah proaktif dengan menceburi bidang 'Ekonomi Digital' yang dianggap sebagai industri masa depan. Lantaran itu, kita perlu bersedia dengan transformasi yang dibawa agar Jabatan Penjara tidak ketinggalan.
4. Istilah seperti digital economic, e-government, open data dan cloud computing seringkali diguna pakai dan disebut dalam Rancangan Malaysia dalam menggambarkan keadaan kita pada masa akan datang dan adakah kita bersedia dengan pengetahuan dan kemahiran yang sedia ada. Maka saya melihat sambutan Hari ICT ini dilihat satu titik permulaan yang baik untuk kita menyemarakkan pembudayaan penggunaan ICT di Jabatan Penjara.
5. Jika dilihat hari ini Jabatan Penjara telah membangunkan banyak sistem bagi memudahkan dan melancarkan perkhidmatan Jabatan. Lantaran itu, kita gunakan kemudahan ini dengan sebaik-baiknya di mana ia memberikan perkhidmatan dengan lebih cepat dan tepat. Oleh itu, bersama-samalah kita berusaha menambah pengetahuan dan kemahiran kita dalam menyahut seruan kerajaan ke arah negara maju dengan memantapkan pembudayaan dan tadbir urus ICT bagi meningkatkan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan.
6. Namun di dalam kegairahan kita menggunakan apa jua aplikasi di atas talian ini, saya mengingatkan agar memastikan maklumat digital kerajaan yang diurus menggunakan medium siber perlu dikendalikan mengikut prosedur dan tatacara yang telah ditetapkan. Ini bagi mengelakkan sebarang kebocoran atau ketirisan maklumat yang boleh dimanipulasi kumpulan tertentu untuk memburukkan kerajaan demi kepentingan sendiri. Maklumat kerajaan yang bocor juga sering diputarbelit, mengakibatkan penyebaran berita palsu dan tidak benar dalam kalangan rakyat. Sikap berhemah dan bertanggungjawab ketika menggunakan medium siber, adalah satu keperluan untuk dipraktikkan dan dibudayakan oleh semua penjawat awam termasuklah di Jabatan Penjara.
7. Jadilah pengguna ICT yang bijak dan bertanggungjawab. Berhati-hatilah memuat naik sebarang kenyataan dan kita tertakluk kepada undang-undang sedia ada termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, Akta Fitnah 1957 dan Akta Hasutan 1948.
8. Gunakanlah kemudahan ini sebaik-baiknya. Besarlah harapan saya agar seluruh warga penjara menggunakan kemudahan ICT secara maksimun dan jadikanlah ia sebagai medium perhubungan bagi seluruh warga Jabatan Penjara Malaysia dalam memperkasakan penyampaian perkhidmatan Jabatan.
9. Saya sekali lagi mengucapkan tahniah dan juga terima kasih kepada YBhg. Dato Jamaludin bin Saad dan Bahagian Teknologi Maklumat di atas inisiatif telah menganjurkan Hari ICT
10. AKHIR KATA, DENGAN LAFAZ BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM, SAYA DENGAN SUKACITANYA SAYA MERASMIKAN HARI ICT JABATAN PENJARA MALAYSIA TAHUN 2017.
Sekian, terima kasih. Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh.