| 
A+
Aa
A-
A
A
A

Peta Laman Aduan & Maklum Balas Hubungi Kami Soalan Lazim

Perutusan Tahun Baru 2018 Ketua Pengarah Penjara Malaysia

BISMILLAHIRAHMANIRAHIM
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Negaraku Malaysia

1.    Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan limpah kurniaNya kita berpeluang menikmati dan meraikan kedatangan tahun baru 2018. Kita perlu bersyukur dengan nikmat usia, kesihatan dan masih berpeluang untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan selaku penjawat awam di Jabatan Penjara Malaysia.

2.    Saya mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga kerja yang telah memberi komitmen yang tinggi di dalam menjayakan setiap program dan aktiviti yang telah direncanakan sepanjang tahun 2017. Saya berharap segala kejayaan yang telah terukir akan menjadi pembakar semangat kepada seluruh warga kerja untuk terus mengekalkan prestasi kerja yang cemerlang dan melangkah lebih jauh lagi  terutamanya dalam pengurusan kepenjaraan. Menjengah ke tahun baru, elok juga kita mengimbas kembali tempoh 2017 yang telah ditinggalkan dalam membentuk asas kepada masa hadapan yang akan direntasi.

3.    Secara keseluruhannya saya berpuas hati dan merasa bangga dengan pencapaian dan prestasi yang ditunjukkan oleh Jabatan pada tahun 2017. Banyak kejayaan yang telah terukir dan memberi kenangan manis buat kita semua. Kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan melambangkan betapa Jabatan ini memiliki kualiti kepimpinan pegawai dan wargakerja yang cemerlang. Ia dapat dilihat dengan penciptaan berinovasi dengan pengiktirafan dan anugerah diterima.  Keadaan inilah yang menjadi satu cabaran yang sangat besar kepada kita semua kerana bukan sahaja untuk meneruskan kesinambungan tersebut malah berusaha untuk mencari sesuatu kelainan atau imej baru dengan penerokaan dan penciptaan sesuatu yang baru untuk dibangunkan. Bak kata orang “untuk mencapai sesuatu adalah lebih mudah berbanding untuk mempertahankannya”. Justeru itulah dalam memartabatkan kesinambungan dan imej kecemerlangan jabatan, saya menyeru dan mengajak semua warga Jabatan agar bekerja bersama-sama demi merialisasikan cita-cita tersebut selain memahami kembali visi, misi, objektif dan nilai-nilai yang berkaitan agar tindakan kita nanti tidak tersasar dari landasan sebenar Jabatan Penjara Malaysia.

4.    Berdasarkan prestasi Jabatan Penjara Malaysia telah mencapai sasaran Key Performance Indicator (KPI) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri antaranya penetapan sekurang-kurangnya 1,500 penghuni menjalani latihan kemahiran bersijil bagi tempoh satu tahun. Namun dengan kerjasama pelbagai pihak seramai 2,828 penghuni telah pun mengikuti program persijilan latihan kemahiran yang mana mencatatkan pencapaian 188.53%. Pada tahun 2017, kita juga telah pun memulakan langkah pertama dengan menjalinkan kerjasama Corporat Smart Internship (CSI) bersama syarikat-syarikat luar yang menawarkan pekerjaan kepada bekas penghuni. Penglibatan pihak swasta amat menggalakkan dimana seramai 565 Orang DiParol (ODP) telah pun mengikuti pogram ini sehingga Disember 2017. Bagi memperkasakan pemulihan bersepadu Orang Tahanan Jabatan Penjara telah berjaya memastikan  semua banduan radikal menjalani Program Deradikalisasi seterusnya mencatatkan pencapaian 143%. Lantaran itu, jadikan kejayaan ini sebagai penanda aras untuk kita bekerja dengan lebih komited dan berdedikasi dalam menjalankan tanggungjawab memulihkan pesalah-pesalah sekaligus merealisasikan hasrat kerajaan untuk menurunkan kadar residivis agar keselamatan negara sentiasa terpelihara.
5.    Kejayaan yang dicapai tersebut seharusnya memberikan impak yang positif ke atas motivasi kita untuk meneruskan lagi perkhidmatan yang lebih cemerlang pada masa depan. Adalah menjadi harapan saya supaya warga kerja jabatan ini menjadi penyumbang kepada usaha-usaha mempertingkatkan lagi kecemerlangan dan imej jabatan. Masa depan jabatan terletak kepada gabungan idea, bakat, inisiatif dan semangat seluruh personalnya.

6.    Saya amat berharap agar kejayaan yang dicapai serta kecemerlangan yang dikejar tidak menyebabkan kita lupa akan tanggungjawab asas iaitu melaksanakan tugas secara berperaturan berasaskan undang-undang. Kesilapan dan kelemahan kita boleh mencacatkan kecemerlangan yang telah dicapai. Oleh itu pastikan setiap tugas dilaksana secara profesional berasaskan ketetapan undang-undang dan demi kepentingan rakyat.

7.    Pada tahun 2018 tanggungjawab besar menanti kita, di mana Jabatan Penjara Malaysia telah dipertanggungjawabkan menjadi penganjur bagi Persidangan Pentadbir Koreksional Asia dan Pasifik (APCCA) yang pastinya memberi ruang untuk kita menzahirkan satu resolusi ke arah pemantapan semangat kerjasama di kalangan negara-negara asia pasifik dalam memperkasakan program pemulihan banduan.

8.    Sesungguhnya sumbangan semua pihak adalah mustahak bagi menentukan kejayaan jabatan secara berterusan. Jabatan amat mengalu-alukan setiap pandangan dan bakat yang ada pada setiap kakitangan yang ada. Alangkah ruginya jika bakat yang terbentuk tidak digunakan bagi memperkasakan dan membawa jabatan ke arah lebih cemerlang. Untuk mencapai kecemerlangan kita harus berani dan tegas bagi melaksanakan perubahan dan pembaharuan.

9.    Akhir kata, saya ingin berpesan bahawa hakikatnya kecemerlangan sesebuah organisasi terletak pada sumber personalnya. Bersama-samalah kita berusaha merealisasikan hasrat Jabatan Penjara Malaysia untuk menjadi Peneraju Perkhidmatan Korektif yang unggul dan bertaraf dunia. Semoga pada tahun 2018 ini akan membawa kemakmuran, keselamatan, kesihatan dan tuah buat kita semua.

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2018!

Sekian, terima kasih.


(KJP DATO’ SRI HAJI ZULKIFLI BIN OMAR)
KETUA PENGARAH PENJARA MALAYSIA