| 
A+
Aa
A-
A
A
A

Peta Laman Aduan & Maklum Balas Hubungi Kami Soalan Lazim

Perutusan Tahun Baru 2020 Ketua Pengarah Penjara Malaysia

BISMILLAHIRAHMANIRAHIM
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Sayangi Malaysiaku-Malaysia Bersih

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala kerana dengan limpah kurniaNya kita berpeluang menikmati dan meraikan kedatangan tahun baru 2020. Kita seharusnya bersyukur dengan nikmat usia, kesihatan dan masih berpeluang untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan sebagai penjawat awam di Jabatan Penjara Malaysia.

2. Saya mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga kerja yang telah memberi komitmen yang tinggi di dalam menjayakan setiap program dan aktiviti yang telah direncanakan sepanjang tahun 2019. Semoga dengan program-program yang telah di atur pada 2019 ini telah membuahkan hasil yang dapat memartabatkan Jabatan Penjara Malaysia di mata masyarakat. Bahkan saya juga berharap segala pencapaian yang telah terukir akan terus menjadi pembakar semangat kepada seluruh warga kerja Jabatan untuk terus mengekalkan prestasi kerja yang cemerlang dan melangkah lebih jauh lagi dalam pelbagai bidang terutama dalam pengurusan kepenjaraan bagi merealisasikan objektif dan misi Jabatan Penjara Malaysia.

3. Kejayaan yang telah dicapai bukan kejayaan individu, tetapi kejayaan semua warga Jabatan ini. Gandingan serta keutuhan dalam semangat berpasukan yang kukuh merupakan kekuatan sebenar kita. Sehubungan itu, saya mengharapkan gandingan tersebut diteruskan untuk tahun 2020 serta tahun-tahun mendatang agar kita menjadi satu pasukan yang disegani bagi menjayakan matlamat memajukan Jabatan ini. Kita hendaklah menanam keazaman dan berusaha untuk memberi perkhidmatan yang cekap dan berkesan dalam melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan. Perkhidmatan yang terbaik dan kepentingan perkhidmatan perlu menjadi asas pegangan.

4. Saya mengharapkan Perutusan Tahunan ini merupakan satu pemangkin dan peniup semangat kepada seluruh warga kerja untuk terus mempertingkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat dan negara melalui penahanan dan pemulihan yang padu dan efektif. Saya percaya dengan perbezaan latarbelakang dalam aspek budaya, kepercayaan dan pendidikan sudah pasti menjaga dan memulihkan pesalah jenayah menjadi satu tugas yang mencabar pada hari ini.

5. Sungguhpun demikian, masyarakat dan badan-badan korporat perlu memainkan peranan dalam aspek membantu bekas-bekas banduan supaya mereka tidak merasa tersisih daripada kelompok masyarakat. Ia secara tidak langsung dapat membantu mereka untuk meneruskan kehidupan kerana mereka juga merupakan sebahagian daripada kelompok masyarakat yang perlu diberikan bantuan.

6. Sebagai institusi pelaksana hukuman dalam undang-undang negara ini, seluruh warga Jabatan Penjara perlu mencerminkan kredebiliti bukan hanya di kaca mata masyarakat Malaysia tetapi di kaca mata dunia supaya kita disegani dan dihormati.

7. Akhir kata, selamat menyambut kedatangan Tahun Baru 2020 yang akan menjelma tidak lama lagi dan ambillah kesempatan ini untuk kita perbaharui azam untuk menjadi lebih cemerlang dalam tugas-tugas kita. Suka saya ingatkan apa yang penting kita haruslah bersedia menghadapi pembaharuan dan sanggup menghadapi cabaran. Setiap pengalaman yang telah dikutip perlulah dijadikan panduan untuk kita berikan yang terbaik.

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2020!

Sekian, terima kasih.

(KJP DATO' SRI HAJI ZULKIFLI BIN OMAR)
KETUA PENGARAH PENJARA MALAYSIA