Jalan Maktab, 16109 Pengkalan Chepa, KELANTAN DARUL NAIM
Tel : 09-7715500 | Fax 09-7745308 | Email : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Maklumat Ringkas
Penjara Pengkalan Chepa yang dahulunya dikenali dengan nama Penjara Kelantan, terletak kira-kira 8 kilometer dari Bandar Kota Bharu. Mula beroperasi pada 17 Ogos 1950. Sebelum ini institusi ini terletak di Bandar Kota Bharu iaitu di Bangunan Pejabat Kawalan Bawaan Vektor Negeri Kelantan, Jalan Mahmood, Kota Bharu di hadapan Stadium Sultan Muhammad ke IV atau bersebelahan dengan Gelanggang Seni. Bangunan ini masih utuh dan telah diubahsuai oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.
Penjara Pengkalan Chepa sekarang terletak di atas tanah seluas 26.45 hektar yang mana 10.2 hektar digunakan sebagai Penjara dan selebihnya digunakan sebagai kawasan perumahan dan padang permainan. Penjara ini pada awal penubuhannya dikenali sebagai Penjara Terbuka yang merupakan Penjara Terbuka Pertama di Malaysia dan juga di Asia Tenggara. Konsep Penjara Terbuka ini diambil daripada Sistem Witz Will di Bern, Switzerland pada tahun 1875. Pada 2 Feberuari 1994 Penjara ini telah diwartakan (KDNS 171/1355 Klt.2 Pindaan (PU2) 163/11) di bawah Pentadbiran yang diketuai oleh Pegawai Penjara berpangkat Penolong Kanan Komisioner Gred KA 52.
Penjara Pengkalan Chepa dipecahkan kepada 2 Bahagian iaitu Penjara Lelaki dan Penjara Wanita dan pada hari ini dapat menampung melebihi 1500 orang banduan yang terdiri daripada beberapa kategori hukuman dan tahanan seperti Banduan Akhir, Banduan Seumur Hidup, Banduan Hukuman Lama, Banduan Hukuman Singkat, Tahanan Mahkamah Tinggi, Tahanan Mahkamah Sesyen, Tahanan Mahkamah Majistret, Banduan Dagang dan Tahanan Imigeresen.
Sepanjang tempoh menjalani hukuman banduan diberi Latihan Vokasional seperti Bengkel Pertukangan Kayu, Bengkel Kimpalan, Bengkel Pertukangan Rotan, Bengkel Jahit, Bengkel Batik, Pembinaan Bangunan, Bengkel Elektrik, Kebun Sayur, Bengkel Pastri, Bengkel SPA dan lain-lain. Disamping memberi Latihan Kemahiran Hidup yang boleh menjadi sumber rezeki bila dibebaskan nanti, Pendidikan Agama juga diajar sebagai cara untuk memulihkan akhlak, di mana aktiviti ceramah agama dan sembahyang berjemaah diamalkan di Institusi ini. Selain daripada Latihan Vokasional dan Pendidikan Agama kepada banduan-banduan juga (terutama yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah) diberi bimbingan kaunseling. Manakala sebelah petang diadakan aktiviti-aktiviti sukan, disediakan untuk menghilangkan rasa bosan dan mewujudkan keharmonian hidup diantara mereka.
Banduan juga sebagai insan yang mempunyai perasaan kasih sayang dan rindukan keluarga, maka dengan itu keluarga mereka dibenarkan melawat mereka sekurang-kurangnya sekali sebulan, tiga minggu sekali, dua minggu sekali dan tiap-tiap minggu mengikut peringkat banduan. Setiap perjumpaan diperuntukan masa selama 30 minit dengan menggunakan intercom bagi membolehkan keluarga banduan memberi nasihat agar tidak mengulangi kesilapan yang lalu dan sekurang-kurangnya menghilangkan sedikit rindu mereka.