Jabatan Penjara Malaysia ingin memberi penjelasan berhubung komen dari surat pembaca A. Rahim Harun, Kuala Lumpur "Kisah Anwar sakit tenat sudah basi" seperti mana yang disiarkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 2 Januari 2001 dalam ruangan surat dari pembaca. Antara 'cerita' yang ditulis oleh A. Rahim Harun menyentuh tentang 'khabar-khabar' angin bahawa Dato' Seri Anwar Ibrahim kerap bertemu dengan Ketua Pemuda Pas, Mahfuz Omar dan Keadilan, Ezam Mohd. Noor semasa berada di Hospital Kuala Lumpur. Sehubungan itu pihak Jabatan Penjara Malaysia menolak 'cerita' yang dibawa oleh pembaca tersebut bahawa Dato' Seri Anwar Ibrahim ada berjumpa dengan pihak berkenaan. Untuk makluman, jabatan penjara sentiasa mengambil perhatian dari aspek kawalan semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalani rawatan di hospital dan sebarang perjumpaan dengan mana-mana pihak yang tiada kaitan kekeluargaan dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah tidak dibenarkan. Berdasarkan rekod jabatan, tidak ada sebarang perjumpaan telah diadakan antara Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan Mahfuz dan Ezam di Hospital Kuala Lumpur seperti mana yang didakwa. Sehubungan itu, tohmahan bahawa pihak Jabatan Penjara telah memberi kebenaran kepada Mahfuz dan Ezam berjumpa dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa beliau ditahan di Hospital Kuala Lumpur adalah tidak berasas dan lebih merupakan tuduhan liar yang tidak bertanggungjawab. Melalui penjelasan ini orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati dan meneliti 'cerita-cerita' khabar angin yang digembur-gemburkan oleh sesetengah pihak yang mana ia jelas tidak memberi gambaran yang tepat layanan yang diterima oleh pesalah, khususnya Dato' Seri Anwar Ibrahim. Sebagai salah sebuah agensi terkanan di bawah Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penjara sentiasa berusaha menentukan segala tindakan dan penguatkuasaan undang-undang yang dilaksanakan oleh jabatan berteraskan undang-undang negara dan selari dengan Piawaian Antarabangsa.









