| 
A+
Aa
A-
A
A
A

Peta Laman Aduan & Maklum Balas Hubungi Kami Soalan Lazim

Pantun

Pantun Nasihat
Makan sirih duduk bersila,
Sambil duduk bersama isteri;
Sekiranya ilmu penuh di dada,
Hidup akan penuh bererti.

Adik bermain jauh di sana,
Tangan berikat dengan tali;
Buat baik secara sederhana,
Buat jahat jangan sekali.

Tanam tebu di tepi pagar,
Daunnya kena orang lalu;
Nasihat guru hendak didengar,
Barulah kita selamat selalu.

Nukilan :
67-13-00052
Penjara sungai petani


Pantun Nasihat

Buah kedondong atas pokok,
Buah langsat masak sebiji;
Jangan suka menghisap rokok,
Kelak merana diri sendiri.

Pucuk paku dipetik orang,
Mari diisi dalam raga;
Sungguh hidup dirundung malang,
Jangan selalu merasa kecewa.

Petik pucuk ubi kayu,
Gulai bersama ikan keli;
Dalam hati janganlah sayu,
Sentiasa ingat pada Ilahi.

Budak-budak bermain di kolam,
Kolam ada di dalam taman;
Dalam hati janganlah kelam,
Penuhkan diri dengan iman.

Nukilan :
67-13-00622
Penjara Sungai Petani

Pantun Patriotik


Buah rambutan masaknya merah,
Rasanya enak tidak terkira;
Adat budaya tidak terjajah,
Pengukuh ciri rakyat Malaysia.

Buah mempelam di dalam raga,
Dibawa orang ke tanjung batu;
Rupa dan wajah memang berbeza,
Berlainan bangsa namun bersatu.

Buah kelapa tinggi pokoknya,
Lidinya pula buat penyapu;
Rakyat jelata berajakan baginda,
Menjunjung kasih Duli Tuanku.

Pergi ke kebun mengambil nangka,
Buahnya elok dibuat pengat;
Setengah abad telah merdeka,
Pertahankan dengan seluruh kudrat.

Nukilan :
3-10-01364 Mohd Sarrifudin bin Hassim
Penjara Jelebu N. Sembilan

Pantun Kasih Ibu dan Ayah

Anak raja pergi memburu,
Berteduh sebentar di pangkal jati;
Ambil hati ayah dan ibu,
Janganlah sesekali meninggi diri.

Dari Johor pergi ke Melaka,
Pergi bersama dengan Pak Atan;
Kalau ibu bapa sudah tiada,
Iringkan doa tanda ingatan.

Ikan keli dimasak asam,
Ikan haruan dimasak pedas;
Dalam hati rindu dendam,
Jumpa sekali takkan puas.

Nukilan :
67-13-00786
Penjara Sungai Petani


Pantun Harmoni
Burung merbuk merdu suaranya,
Hinggap di dahan mencari makan;
Pandang ke depan anak merdeka,
Hargai kebebasan satu kehidupan.

Pohon meranti banyak penyengat,
Tumbuh rendang di dalam hutan;
Bersatu padu tekadkan semangat,
Untuk mencapai satu wawasan.

Ayam hutan keluar gelap,
Cari makan di pinggir hutan;
Semangat luntur perlu digilap,
Agar gemilang masa depan.

Bunga melati baunya wangi,
Wangi lagi bunga cempaka;
Malaysia kini kian harmoni,
Aman makmur hidup rakyatnya.

Nukilan :
52-11-00130 Mohamad Ali bin Komari



Pantun Beringatlah Wahai Sahabat

Rendang sungguh pohon bidara,
Tempat teduhan di tengah hari;
Andai resam tiada terpelihara,
Hilanglah arah rosaklah diri.

Jambu muda rasanya kelat,
Dimakan oleh Baba dan Nyonya;
Capailah kejayaan dunia dan akhirat,
Supaya hidup diredhai Nya.

Pergi ke sawah menangguk sepat,
Dapat ikan lalu dibakar;
Khusyuk ketika mendirikan solat,
Cegah keji perbuatan mungkar.

Banyak-banyak buah rambutan,
Rambutan madu sungguh nikmat;
Awas akan perangkap syaitan,
Supaya diri sentiasa selamat.

Pergi ke sungai memasang lukah,
Dapat seekor ikan haruan;
Sekecil mana amal jariah,
Kelak pasti mendapat balasan.

Hari raya makan ketupat,
Cicah gulai itik serati;
Bertaubatlah kita sementara sempat,
Sebelum dijemput panggilan Ilahi.

Nukilan:
3-11-00921 Dean Iskandar Bin Mahmod
Penjara Jelebu


Pantun Nasihat
Pergi ke kedai membeli keropok,
Keropok dibeli di Kampung Cina;
Jangan mula menghisap rokok,
Kerana rokok punca bencana.

Pisang busuk hendak disisih,
Mari letak dalam raga;
Jika hidup menjadi penagih,
Ke mana pergi orang tak suka.

Menjahit baju di rumah Mak Bedah,
Singgah sebentar di kedai Nyonya;
Jangan terlibat dengan dadah,
Kerana dadah perosak segalanya.

Makan capati bersama Adam,
Capati dibeli di Kampung Pandan;
Bulatkan hati tekadkan azam,
Kesilapan lalu jadi tauladan.

Nukilan :67-10-000894
Penjara Sungai Petani


Pantun Nasihat


Buah pisang buah nangka,
Buah dibeli di Pekan Rabu;
Jika tuan hendak bercinta,
Cintai dulu Allah yang satu.

Dalam kolam ternampak bayang ,
Tempat bermain si anak ikan;
Terpaut kasih terpahat sayang,
Mahligai cinta kita dirikan.

Berjalan kaki pergi ke sekolah,
Berjalan dengan anak Pak Abu;
Wahai ibu wahai ayah,
Tiap saat hatiku rindu.

Masak lemak pucuk labu,
Dimasak oleh Puan Esah;
Hati menanggung rasa rindu
, Setiap hari resah gelisah.
Nukilan : 861200205 Mohd Ain Nazli bin Jali
SHG Keningau


Pantun Nasihat


Burung helang terbangnya tinggi,
Terbang melayang waktu petang;
Kalau kita bijak bistari,
Semua kerja menjadi senang.

Ambil galah jolok mangga.
Mangga jatuh timpa kepala;
Wahai ibu wahai bapa,
Minta maaf kerana berdosa.

Durian jatuh belah empat,
Jatuh dekat kepala titi;
Kalau kita rajin solat,
Hidup bahagia sampai ke mati.

Ikan pari ikan bawal,
Sedap makan campur sotong;
Jangan jadi orang bebal,
Kerana akan dipandang serong.

Nukilan : 841204402 Mohd Nazrin Bin Zamrin
SHG Keningau


Pantun Nasihat

Pulau Sapi airnya tenang,
Banyak orang menangkap pari;
Kami datang bukan diundang,
Kerana kami tak sayang diri.

Pisang raja dari Sabah,
Mari dimakan bersama bonda;
Hidup di penjara perlu tabah,
Supaya hidup tidak ternoda.

Tidur siang beralas bantal,
Tidak berbaju berkain pelekat;
Kalau hidup rajin beramal,
Nescaya hidup mendapat berkat.

Pergi ke pasar membeli maman,
Maman dibeli di gerai Pak Adi;
Dunia ini hanya pinjaman,
Akhirat jua kekal abadi.

Nukilan : 891200005 Mohd Azwan Bin Mohd Daud
SHG Keningau


Pantun Nasihat

Buat kenduri gulai kawah,
Gulai sedap wangi baunya;
Benar kata pahlawan Hang Tuah,
Takkan Melayu hilang didunia.

Buah durian dibuat bubur,
Untuk dimakan bersama-sama;
Apa guna sombong dan takbur,
Kelak diri hidup merana.

Burung merbah membuat sarang,
Buat sarang di tepi huma;
Jangan mudah menyalahkan orang,
Kerana manusia tiada sempurna.

Nukilan : 31202715 Mamu
Penjara Sg Petani


Pantun Nasihat

Enak sungguh pucuk labu,
Digulai lemak dengan daging;
Banyak harta tiada berilmu,
Bagai rumah tiada berdinding.

Surat ditulis di dalam gelap,
Ayatnya banyak tidak kena;
Jagalah diri jangan tersilap,
Tersilap langkah akan merana.

Kayu bakar dibuat arang,
Arang dibakar memanaskan diri;
Jangan mudah menyalahkan orang,
Lihatlah dahulu diri sendiri.

Pergi berburu ke dalam hutan,
Nampak harimau badan berjalur;
Biar carik baju di badan,
Asalkan hati ikhlas dan jujur.

Nukilan : 67-06-00082 Muhd Asamadi bin Baharudin

Penjara Sg Petani

Pantun Nasihat

Jalan jalan ke Baitul Muqaddis,
Sambil membawa barang pakainya;
Bonda ku tinggal jangan menangis,
Anakanda pergi membawa nasibnya.

Piramid kotanya tinggi,
Sungai Nil dari seberang;
Firaun jahat tak disenangi,
Jasad terbuang di rantau orang.

Tanam teh di gunung tinggi,
Daunnya lebat merimbun dahan;
Ibunda pergi anak tangisi,
Alamat sesal mati beragan.

Pisang tanduk dicuri orang,
Tidak sempat dibawa lari;
Kalau berdagang ke negeri Pahang,
Jaga baik anak isteri.

Nukilan : 490800869 Rizan Bin Abd Rahman
Penjara Puncak Borneo


Pantun Nasihat

Sekapur sirih seulas pinang,
Dimakan oleh dara jelita;
Kaya harta hidup kan senang,
Miskin jiwa hidup menderita.

Pagi-pagi pergi ke sawah,
Tanam padi berlima lima;
Orang bijak terpancar di wajah,
Orang bodoh selalu terkena.

Asal kayu menjadi kertas,
Dari kertas menjadi buku;
Kapal terbang MH370 sudah terhempas,
Apa yang jadi ketentuan Tuhanku.

Kota Mekah awannya biru,
Di situ tempat menyuci hati;
Ku mohon ampun kesalahan lalu,
Taubat dengan sesungguh hati.

Nukilan : 491000294 Mohamad Khairin Bin Abd Rahman
Penjara Puncak Borneo


Pantun Nasihat

Bukit Siol berhutan buluh,
Tempat orang pergi memanah;
Minta selisih malaikat empat puluh,
Janganlah saya disumpah seranah.

Orang hulu memalu kompang,
Kompang dipalu kayu jati;
Fikir dahulu sebelum buang,
Agar tidak menyesal nanti.

Angin samudera mendayu-dayu,
Terbang burung di angkasa;
Biarlah hodoh kekasih aku,
Asal pandai memasak laksa.

Nukilan : 440800380 Nyanau Ak Lunchun
Penjara Puncak Borneo


Pantun Nasihat

Hendak merantau ke Kampung Stutong,
Sambil memberi wang zakat;
Bulat air kerana pembetung,
Bulat kata kerana muafakat.

Jangan pergi mandi di kolam,
Abu dan Ali sedang memancing;
Jangan suka bermain selam-selam,
Nanti hilang kawan rungsing.

Jikalau membawa lampu suluh,
Tolong suluhkan bawah rumah;
Jikalau anak-anak bersatu teguh,
Kerja yang susah menjadi mudah.

Nukilan : 490800937 Suzi Bin Sulaiman
Penjara Puncak Borneo


Pantun Nasihat

Orang Iban selalu ngayau,
Bagi memikat hati Si Dayang;
Hidup anakanda selalu merantau,
Wajah bonda selalu terbayang.

Tudung saji hanyut terapung,
Terapung sampai ke Tanjung Pinang;
Hajat hati nak pulang ke kampong,
Lautan lebar tidak terenang.

Dari sini hendak ke sana,
Jauh Boulevard dari Serikin;
Jika tidak badan merana,
Harap bertemu di masa lain.

Pak Tani mengasah pisau,
Pisau disimpan atas almari;
Dagang seorang di tempat rantau,
Tiada teman anak isteri.

Nukilan : 440600696 George Ak Catherine
Penjara Puncak Borneo

Pantun Nasihat

Telur cicak dalam cawan,
Entah pecah entahkan tidak;
Sudah sampai negeri Kelantan,
Entah pulang entahkan tidak.

Duduk mencangkung tepi perigi,
Sambil membasuh ubi kentang;
Berdagang ke tempat yang belum pergi,
Macam menempah maut mendatang.

Belayar di laut dengan juragan,
Hendak berlabuh di Tanjung Beris;
Bukannya banyak membawa dagangan,
Harapkan untung jualan laris.

Orang kampung mandi di kolam,
Mandi berlimau si bunga rampai;
Hari petang matahari terbenam,
Dagang berembai si air mata.

Nukilan : 450901026 Ricky Ling
Penjara Puncak Borneo


Pantun Nasihat

Kain pelikat di dalam peti,
Satu Jumaat sekali buka;
Sudah terikat dalam hati,
Satu rakaat tidakku lupa.

Kalau perahu akan tenggelam,
Cepat berenang sampai pangkalan;
Kalau nak tahu apa itu Islam,
Mohon ustaz tolong ajarkan.

Kalau tuan memetik rambai,
Rambai ada di hujung dahan;
Kita berpantun beramai ramai,
Berserah hati kepada Tuhan.

Nukilan : 49100023 Ricky Ak Ignitius @ Mohd Ricky Abdullah
Penjara Puncak Borneo


Pantun Nasihat

Merah merah si buah saga,
Saga tumbuh di Tanjung Datu;
Dalam laut boleh ku duga,
Dalamnya hati tidak ku tahu.

Bengis sungguh orang banduan,
Lalu-lalang kereta dihalang;
Menangis dagang sepanjang jalan,
Mengenang nasib di negeri orang.

Tuan puteri meminta pinggan,
Untuk diisi buah langsat;
Amat tulus kasihmu puan,
Sampai kemati adinda ingat.

Nukilan : 440600794 Al-Ehsan Bin Mantaha
Penjara Puncak Borneo


Pantun Nasihat

Pusat pelancongan merata tempat,
Menjadi tumpuan seluruh keluarga;
Sepandai-pandai tupai melompat,
Akhirnya jatuh ke tanah juga.

Gunung ganang cantik menawan,
Nampak dari Pulau Angsi;
Selamat tinggal kawan-kawan,
Kini ku berada di tirai besi.

Malaysia merdeka bulan lapan,
Jasa pahlawan perlu hormati;
Akan ku tuju ke arah keinsafan,
Mudah-mudahan Allah memberkati.

Anak sepat anak haruan,
Beriring-iring menyusul tebing;
Sama mencecah hati kuman,
Susah senang sama membimbing.

Rimbun daun pohon angsana,
Tempat singgahan burung merpati;
Bermula episod hidupku durjana,
Nasihat keluarga ku tolak ke tepi.

Masak jambu di hujung dahan,
Mari dipetik anak raja;
Bermula diriku ke arah keghairahan,
Beginilah rupanya kehidupan remaja.

Layang layang terbang sekawan,
Terbang menuju ke Tanjung Jati;
Atas dasar pengaruh kawan,
Kiniku mengikut kehendak hati.

Rakyat Malaysia hidup aman,
Walaupun desa suasana sepi;
Kerana dadah jadi keutamaan,
Undang-undang ku tolak tepi.

Nukilan :
491100252 Syed Junaidi Bin Syed Abu Kassim
Penjara Puncak Borneo


Pantun Nasihat

Hari Jumaat makan nasi kuning,
Ayam goreng sambal belacan;
Dalam penjara kepalaku pening,
Aku redha memohon keampunan.

Terang bulan di malam hari,
Duduk seorang terasa bosan;
Kerana terlalu ikutkan hati,
Aku dipenjara sebagai balasan.

Nukilan : 49130061 Mahadi Jamali
Penjara Puncak Borneo

Pantun Nasihat

Banduan orentasi banduan halaqah,
Duduk dipenjara makan bersama;
Kami sedar banyak bersalah,
Harap keampunan dapat diterima.

Nasi Kuning roti kuning,
Untuk makanan para banduan;
Ingat kesalahan hatiku rungsing,
Sujud taubat tanda keinsafan.

Nukilan : 491300526 Kairul Ahzam Bin Mohamad
Penjara Puncak Borneo