Pada 24 Julai 2026 (Jumaat), Pusat Koreksional Jasin (PK Jasin) telah mengadakan Program Outreach di Perusahaan Batik Clay Kampung Rim Jasin Melaka. Batik Clay ialah sebuah perusahaan batik komuniti di bawah seliaan JAPERUN RIM. Sebelum ini Pusat Koreksional Jasin mendapat jemputan daripada YB Datuk Khaidhirah binti Datuk Seri Abu Zahar, Timbalan EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET Negeri Melaka iaitu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan RIM. Seramai 6 Orang Diselia (ODS) terlibat dalam program ini. Anggota PK Jasin yang mengiringi ialah KPL Muhammad Nazli bin Nasaruddin dan WDR Mohd Hafizi bin Hamzan. Turut hadir PKP Shaharudin bin Ahmad, Pengarah PK Jasin. Anggota dan ODS telah disambut oleh Puan Mazlina binti Abdul Majid, Pengasas dan Penyelia Batik Clay Kampung Rim. Taklimat ringkas mengenai operasi dan perancangan pembangunan perusahaan batik komuniti telah diberikan oleh beliau. ODS diberi peluang melakukan kemahiran asas pembuatan batik, termasuk proses penyediaan, mencanting dan pewarnaan. Komuniti turut berinteraksi dan berbincang bersama pegawai serta ODS mengenai potensi kerjasama jangka panjang dalam pembangunan perusahaan batik desa dan pendapatan tambahan kepada ODS. Pengurusan PK Jasin merakamkan penghargaan kepada YB Datuk Dun RIM dan perusahaan Batik Clay yang memberi peluang pekerjaan kepada ODS. Setinggi tinggi penghargaan juga diberikan kepada semua anggota di PK Jasin yang terlibat dan menyelaras program ini. Pusat Koreksional Jasin komited menyertai program Outreach demi menyumbang bakti kepada komuniti sekitar.










