Pada 16 April 2025 (Rabu) telah berlangsung Majlis Perbarisan Bulanan dan Dialog Bulanan bagi bulan April 2025 Peringkat Penjara Negeri Terengganu bertempat di Perkarangan Pusat Koreksional Dungun. Majlis ini telah disempurnakan oleh Pengarah Penjara Negeri Terengganu, PKK Haji Mohd Nasir bin Yusof. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengarah Penjara Marang, PKK Mohamad Jusoh bin Ismail, Pengarah Pusat Koreksional Dungun, PKP Ahmad Ikhwan Naim bin Mohd Zin, serta 80 orang terdiri daripada pegawai kanan, anggota lain-lain pangkat dan kakitangan awam dari seluruh institusi Penjara Negeri Terengganu.
Aturcara majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku, Lagu Bakti Setia dan Bacaan Ikrar yang dipimpin oleh Ketua Perbarisan, TPP Mohd Sobrie bin Mohd Zuki. Pada majlis tersebut, Pengarah Penjara Negeri Terengganu, PKK Haji Mohd Nasir bin Yusof telah menyampaikan amanat berkaitan dasar dan hala tuju jabatan dan kepentingan penggunaan Artificial Inteligence (AI) dikalangan kakitangan. Majlis diteruskan dengan acara Pemakaian Pangkat yang melibatkan dua orang penerima masing-masing dari institusi Pusat Koreksional Dungun dan Penjara Marang.
Selesai majlis Perbarisan Bulanan, majlis diteruskan dengan sesi Dialog Bersama Kakitangan. Dalam sesi dialog tersebut, turut disempurnakan pemberian sumbangan dari Kelab Kebajikan Pusat Koreksional Dungun kepada keluarga kakitangan yang ditimpa masalah kesihatan dan penyampaian wang dari Kumpulan Wang Hadiah Pegawai Penjara (KWHPP) kepada dua orang kakitangan yang membantu membanteras kemasukan artikel larangan ke dalam penjara. Dalam ucapan pengerusi, beliau menekankan aspek disiplin, layanan terhadap prospek dan integriti kakitangan dalam menjalankan tugas serta amalan gaya hidup sihat.
Selesai Dialog Bersama Kakitangan, program diteruskan dengan Mesyuarat Pengurusan Penjara Negeri Terengganu dan berakhir dengan sesi lawatan ke kawasan dalam Pusat Koreksional Dungun.










