27 Mac 2024 (Rabu) – Penjara Lahad Datu telah menjalankan Majlis Berbuka Puasa Peringkat Penghuni Penjara Lahad Datu Tahun 2024M / 1445H semua penghuni yang beragama Islam. Program dijalankan di Dewan Program Pembangunan Insan (PPI) yang telah dihiasi dengan hiasan bertemakan Bulan Ramadan. Pengarah Penjara Lahad Datu, PKK Nazarman bin Haidzir telah melapangkan masa merasmikan program berkenaan. Turut menghadiri program adalah Timbalan Pengarah Penjara Lahad Datu, PP Wong Seng Siang, TPP Khairul Azha bin Yem, PPP Mohd Ridzuan bin Deraman, KIP Jairan bin Ibrahim, KIP Mohammad Firdaus bin Hassan, INSP Razman bin Norman serta barisan anggota yang bertindak sebagai jawatankuasa program.
Majlis dimulakan dengan bacaan Al-Quran daripada 40 orang wakil penghuni dan diikuti dengan tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh KPL 23717 Asrel bin Atong bertindak sebagai Pembantu Guru Agama di institusi ini. Majlis diteruskan dengan ucapan oleh pihak pengurusan yang disampaikan oleh Pengarah Penjara Lahad Datu. Azan menandakan masuknya waktu Maghrib usai ucapan daripada pengarah dilaungkan oleh salah seorang penghuni yang terlibat dengan majlis ini. Majlis berlangsung dengan baik di mana penghuni dan anggota bertukar-tukar cerita sambil menjamah hidangan yang telah disediakan kepada semua hadirin. Tayangan video berkaitan Ramadan yang diambil daripada akaun rasmi Youtube Jabatan, Pride TV dipaparkan semasa majlis berbuka puasa dijalankan. Turut dirakamkan sesi pihak pengurusan menyantuni penghuni yang terlibat dalam majlis ini. Solat Maghrib berjemaah dijalankan di Surau Al-Islah diimamkan oleh KPL 23126 Mohammad Fakhri bin Murphi selaku Pembantu Guru Agama di institusi ini. Penghuni bergerak ke blok penempatan masing-masing setelah selesai solat Maghrib.