Pada 28 November 2023, Pejabat Pengarah Penjara Negeri Melaka telah menganjurkan Majlis Graduasi Heads Up 2023 bersama Orang diParol (ODP) & Orang Bebas Berlesen (OBB) di Dewan Kristal Wisma PERKESO Melaka. Program ini adalah kerjasama bersama Saora Industries Sdn Bhd, Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS) dan PERKESO Negeri Melaka. Majlis Graduasi Program Heads Up bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada 50 peserta terdiri daripada ODP dan OBB yang terlibat dengan beberapa siri kursus sepanjang tahun 2023 berbentuk motivasi dan kemahiran kerjaya yang ditaja oleh Ekuinas dan Saora Industries. Selain itu jua, kursus ini bertujuan supaya ODP dan OBB mampu bersaing dalam pasaran pekerjaan dan dapat memperbaiki taraf kehidupan. Pihak PERKESO juga memberi kesedaran berbentuk taklimat berkenaan pentingnya caruman SOCSO kepada ODP dan OBB. Pihak media seperti Bernama dan Utusan Malaysia turut hadir untuk membuat liputan. Kehadiran terdiri daripada Encik Abd Razak bin Omar, Pengarah PERKESO Negeri Melaka, penaja utama program iaitu, Tuan Hizwani Hassan, Pengarah Hal Ehwal Berkepentingan Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS), Puan Anita Daud Charles, Pengurus Korporat Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS) dan Puan Farzena Balan, Pengarah Urusan Saora Industries. Majlis telah dirasmikan oleh YBhg. TKP Datuk Roslan bin Haji Mohamed, Pengarah Penjara Negeri Melaka.