Pada 30 Ogos 2023 (Rabu) jam 11.30 pagi, Penjara Penor dengan kerjasama Pertubuhan Rumah Ngaji Pahang dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas telah mengadakan Program Malaysia #Quran Hour bagi tahun 2023 sempena menyambut Hari Kebangsaan kali ke-66 bertempat di Masjid As-Syakirin. Serentak dengan Program Malaysia #Quran Hour Peringkat Kebangsaan di Masjid Sultan Mizan, Putrajaya, Penjara Penor telah terpilih sebagai lokasi hotspot negeri Pahang dengan bertemakan Malaysia Berakhlak Mulia, Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar dengan solusi Surah Al-Insan, Surah Al-Fatihah, dan Surah Al-Asr.
Signifikan dengan program ini, dengan berpandukan Surah Al-Insan, iaitu Memanusiakan Manusia. Matlamatnya adalah sama dengan matlamat Jabatan Penjara Malaysia iaitu setiap penghuni perlu dipulihkan keinsanannya dan diberikan pendedahan kepada budaya ketamadunan manusia sesuai dengan penjara sebagai Pusat Pembangunan Ketamadunan Budaya Kemanusiaan (CHCDC).
Antara pengisian majlis adalah bacaan Al-Quran oleh Qari Jemputan iaitu Ustaz Muhammad ‘Izzan bin Idris, Imam 1 Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan. Majllis seterusnya adalah ucapan aluan daripada Md Abdu bin Sahak, Pegawai Hal Ehwal Islam Pusat Islam dan Pembangunan Insan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah Merangkap Pengerusi Pertubuhan Rumah Ngaji Pahang. Prof. Madya Dr Mahyuddin bin Ismail, Pensyarah Kanan Pusat Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah telah menyampaikan ceramah tafsir Surah Al-Insan dengan lebih mendalam berkenaan Memanusiakan Manusia.
PKK Fayrouz bin Haji Ahmad Zawawi, Pengarah Penjara Penor telah merasmikan majlis ini. Turut hadir ke majlis ini ialah PKK Raja Mohd Amazon bin Raja Daud, Timbalan Pengarah Penjara Negeri Pahang dan PP Ahmad Ikhwan Naim bin Mohd Zin, Timbalan Pengarah Penjara Penor.