8 November 2022 – Dusun Dato’ Murad buat pertama kali bagi tahun ini berjaya menjadi tuan rumah dalam penganjuran Seminar Integriti bertajuk Zikra Rasul; Meneladani Rasulullah Dalam Beramanah bertempat di Dewan Serbaguna Penjara Dusun Dato’ Murad.
Program yang melibatkan hampir 80 orang kakitangan dan ahli PERSIAP mewakili seluruh Institusi Penjara Negeri Melaka pagi tadi merupakan program kolaborasi bersama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Negeri Melaka. Seminar tersebut disampaikan oleh YBhg. Ustaz Mohammad Shahier bin Sa’min, Ketua Bahagian Syariah YaPEIM bermula seawal jam 8.30 pagi dan tamat kira-kira jam 11.30 pagi.
Aturcara diteruskan dengan upacara perasmian penutup oleh YDH TKP Roslan bin Haji Mohamed, Pengarah Penjara Negeri Melaka. Dalam ucapan, beliau turut menekankan tentang pentingnya berintegriti dalam melaksanakan tugas. Beliau turut berterima kasih kepada YaPEIM kerana sudi berkolaborasi dan berharap untuk terus dapat bekerjasama di masa-masa akan datang. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Dusun Dato’ Murad kerana sudi menjadi tuan rumah bagi seminar ini.
Sebelum selesai aturcara, majlis diselitkan dengan acara cabutan bertuah dengan pemenang bertuah berjaya memperolehi Emas 0.5 gram kira-kira berjumlah hampir RM 200 tajaan YaPEIM. Majlis tamat kira-kira jam 12.30 tengahari.