| 
A+
Aa
A-
A
A
A

Peta Laman Aduan & Maklum Balas Hubungi Kami Soalan Lazim

Kolokium Pencegahan Ekstremisme Dan Radikalisme Ganas Peringkat Kebangsaan "Aku Tersalah Langkah"

BANGI, 20 Oktober 2022 ; Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia telah menganjurkan Kolokium Pencegahan Ekstremisme dan Radikalisme Ganas Peringkat Kebangsaan pada 19-20 Oktober 2022 bertempat di Dewan Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Kolokium ini melibatkan pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, Majlis Keselamatan Negara, PDRM, Pejabat Peguam Negara, UNODC, wakil agensi – agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan juga dihadiri oleh pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi sekitar Negeri Selangor.

Kerjasama dalam penganjuran kolokium serta penglibatan pelbagai pihak ini menjadi satu petanda bahawa program yang dijalankan oleh Jabatan Penjara Malaysia menerusi Bahagian Banduan/Tahanan Radikal dan Berisiko Tinggi bagi memperkasakan program pemulihan kepada banduan/tahanan kategori radikal di institusi penjara disokong oleh pelbagai lapisan masyarakat. Bahkan ia jua sebagai program pencegahan supaya tiada lagi masyarakat di Malaysia terutamanya masyarakat pelajar yang akan terlibat dengan kegiatan radikal di negara ini.

Kolokium yang berlangsung selama dua hari ini juga bertujuan untuk menyediakan platform dalam menyampaikan perkembangan semasa berkaitan aktiviti keganasan di peringkat global dan serantau, berkongsi inisiatif yang telah diambil bersama kumpulan pakar dan ahli akademik daripada pelbagai agensi dalam menangani dan mencegah aktiviti keganasan. Selain itu, penganjuran kolokium ini juga diharap dapat membina serta mengukuhkan kerjasama strategik antara agensi yang terlibat seterusnya menambahbaik pendekatan program pemulihan (deradikalisasi) dan juga modul sedia ada serta memberikan pendedahan kepada masyarakat berkaitan langkah-langkah pencegahan yang telah diambil.

Dalam kolokium yang bertemakan "Aku Tersalah Langkah" ini, ia menghimpunkan cendakiawan dan juga pakar-pakar didalam pelbagai bidang yang berkongsi maklumat dan hasil kajian bagi menyampaikan informasi dan juga pentingnya masyarakat dari pelbagai latar belakang memainkan peranan-peranan dalam membantu mengekang perkara ini berleluasa serta menggambarkan keputusan yang kita buat dalam menjalani kehidupan seharian kita adalah amat penting sekali. Program hari pertama dimulakan dengan penyampaian ucaptama oleh YBhg. Dato Haji Abdul Aziz bin Abdul Razak, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan & Koreksional) diikuti dengan sesi plenari I ( 2 panel pembentang ) dan pembentangan kajian ilmiah oleh 8 orang panel manakala hari kedua diteruskan dengan sesi plenari II , ( 2 panel pembentang ) , forum dan seterusnya majlis penutup oleh YBhg. Prof. Dr. Kadaruddin bin Aiyub, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan , Universiti Kebangsaan Malaysia.