Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan keizinanNya dapat saya merakamkan sepatah dua kata sempena Mesyuarat Agung Derma Khairat Kebajikan Jabatan Penjara Malaysia Kali Ke-45 pada tahun ini.
Sepertimana tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, Jabatan Penjara amat menitikberatkan kebajikan kakitangan untuk kelangsungan perkhidmatan yang berkualiti dan suasana kehidupan yang harmoni. Kebajikan kakitangan adalah perkara penting kerana ianya pemangkin kepada keberkesanan pengurusan sumber manusia di sesebuah organisasi.
Derma Khairat Kabajikan Jabatan Penjara Malaysia (DKK) adalah salah satu badan kebajikan yang ditubuhkan untuk membantu warga Penjara apabila berlaku musibah kematian dalam kalangan kakitangan dan keluarga terdekat. Peranan ini harus diperkasakan dengan melihat dari pelbagai sudut supaya objektif penubuhan DKK tercapai.
Saya berharap Ahli Lembaga Pengarah DKK dan semua perwakilan daripada Institusi dapat mempertingkatkan usaha dan memainkan peranan masing-masing demi kemajuan DKK. Kepada Ahli Lembaga Pengarah DKK yang dilantik, sentiasalah bermesyuarah dan berbincang untuk mendapatkan keputusan dan tindakan terbaik dalam mentadbir DKK di peringkat pusat. Manakala kepada perwakilan DKK Institusi teruskan usaha dan sentiasa mengembeling tenaga untuk memantapkan pengurusan di peringkat institusi terutamanya usaha menarik minat penyertaan kakitangan khususnya kepada kakitangan yang baharu berkhidmat di Jabatan Penjara.
Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua kakitangan Jabatan Penjara yang telah menjadi ahli DKK. Sumbangan yuran yang tuan-tuan dan puan-puan berikan InsyaAllah diuruskan dengan baik untuk membantu ahli dan waris yang memerlukan . Sama-samalah kita membantu antara antara kita, semantara dimasa akan datang kita pula dibantu oleh ahli-ahli yang lain. Inilah konsep pengurusan kewangan DKK yang melambangkan kerjasama dan bantu membantu antara kakitangan Jabatan Penjara.
Dikesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah serta Pegawai Perwakilan DKK Institusi kerana telah melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab, cekap dan berkesan. Komitmen tuan-tuan dan puan-puan dalam menguruskan DKK ini menjadikan pertubuhan ini berada pada tahap kecemerlangan yang tinggi.
Adalah diharapkan Mesyuarat Agung ini dapat dijadikan platform untuk merancang pelan tindakan bagi memantapkan lagi tadbirurus DKK dan juga mencari jalan penyelesaian jika ada isu-isu yang timbul.
Akhir kata saya mengucapkan selamat bermesyuarat dan selamat maju jaya.
Sekian, terima kasih.
(DATO’ HAJI NORDIN BIN HAJI MUHAMAD)
Komisioner Jeneral Penjara Malaysia
Merangkap Penaung Derma Khairat Kebajikan
Jabatan Penjara Malaysia