17 Jun 2022 (Jumaat) - Makan Malam Majlis Gawai Dayak dan Pasca Raya Aidilfitri Penjara Sarawak Tahun 2022 kelolaan Penjara Puncak Borneo, Kuching telah diadakan di Perkarangan Penjara Puncak Borneo, Kuching.
Majlis telah dimeriahkan dengan kehadiran YBhg. Dato' Haji Nordin bin Haji Muhamad, Komisioner Jeneral Penjara Malaysia. Penganjuran majlis telah melibatkan semua institusi penjara di Sarawak dengan bertemakan pelbagai etnik yang terdapat di Negeri Sarawak Bumi Kenyalang. Aturcara majlis telah dimulakan dengan lawatan ke gerai jamuan setiap institusi Penjara Sarawak oleh YBhg. KJP Dato' Haji Nordin bin Haji Muhamad dan diteruskan dengan persembahan selamat datang serta diserikan dengan pelbagai persembahan nyanyian bertemakan Hari Gawai dan Raya oleh setiap wakil institusi, cabutan bertuah, pertandingan gerai terbaik, pertandingan pakaian sedondon gawai & raya dan pertandingan pesona gawai & raya.
Turut hadir memeriahkan majlis, YBrs KP Supri bin Hashim, Pengarah Kanan Dasar Kepenjaraan, YDH En. Muhamad Yusri bin Hashim, Pengarah Bahagian Sumber Manusia dan Pentadbiran, YDH TKP Mohamad Rosidek bin Musa, Pengarah Penjara Negeri Sarawak, Ketua Institusi Penjara Sarawak, tetamu jemputan serta kakitangan dan keluarga.
Majlis diakhiri dengan penyampaian duit raya kepada anak-anak kakitangan yang hadir.