26 & 27 Januari 2022 (Rabu & Khamis) – Pihak institusi Penjara Sungai Petani telah menerima Lawatan Lapangan daripada dua (2) orang pegawai hasil jalinan kerjasama di antara Jabatan Penjara Malaysia dan Her Majesty’s Prison and Probation Service (HMPPS), United Kingdom iaitu En. Douglas Graham, Governor of HMP Ilse of Wight dan En. David Redhouse, Governor of HMP Huntercombe.
Majlis dimulakan dengan sesi penerangan dengan bantuan paparan slide yang dibentangkan oleh KIP Mohd Kamil bin Mohd Shalki dan KIP Mohd Hairie bin Jumri di Bilik Mesyuarat Penjara Sungai Petani. Berikutnya disusuli dengan sesi lawatan ke dalam kawasan pengoperasian penjara diketuai oleh PKP Nazri bin Mohamad, Pengarah Penjara Sungai Petani diiringi oleh PP Nor Hazran bin Che Abd Llah bersama-sama beberapa orang pegawai. Di antara kawasan yang dibuat lawatan adalah ke Bengkel Kayu, Bengkel Jahit, Bengkel Dobi, Dapur, Blok Akasia (penempatan banduan/tahanan wanita), dan Sekolah Integriti Sungai Petani. Sesi lawatan diteruskan lagi ke Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kuala Muda dan dimulakan dengan sesi pembentangan oleh PPP Azahari bin Malim selaku Komandan PRP Kuala Muda bersama-sama IP Radzi dan seterusnya diikuti dengan lawatan ke kawasan penempatan Orang di Selia (ODS). Turut bersama-sama sepanjang lawatan tersebut adalah PKK Rahmat bin Abd Rani, Timbalan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa dan Pemindahan, dan KIP Mohd Azhan bin Jaudin serta KIP Noor Azni binti Othman selaku wakil daripada Pejabat Pengarah Negeri Kedah.
Pada hari berikutnya, lawatan dimulakan dengan melawat ke Kilang Grille Tech Sdn. Bhd. di mana tempat ODS bekerja. Kerjasama yang telah terjalin lebih daripada tiga (3) tahun di antara Jabatan Penjara Malaysia dengan agensi swasta ini telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan apabila hampir tiga ratus (300) ODS telah ditawarkan pekerjaan oleh syarikat berkenaan. Pembentangan telah dilaksanakan oleh KIP Mohd Fadly bin Ahmad Nor selaku komandan PRPI diikuti oleh penerangan operasi oleh KIP Mohd Hairie bin Jumri dan KIP Mohd Kamil bin Mohd Shalki serta daripada pengurus kilang iaitu Encik Tan. Lawatan lapangan di kawasan operasi kilang, serta tempat berehat untuk ODS telah dilaksanakan setelah selesai sesi penerangan tersebut.
Hasil daripada lawatan ini, mereka sangat berpuas hati serta kagum dengan program-program yang telah dilaksanakan di Jabatan Penjara Malaysia. Banyak pendapat telah diutarakan oleh pihak mereka bagi meningkatkan lagi keberhasilan program-program yang telah dijalankan di samping ilmu yang menarik dapat di bawa pulang ke tanah air mereka kelak untuk diimplimentasi serta direalisasikan. Akhir sekali, mereka mengucapan tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak pengurusan kerana sudi menerima lawatan daripada pihak mereka.