20 Januari 2015 - Bertempat di Padang Kawat Maktab Penjara Malaysia, Perhimpunan Bulanan Kompleks Penjara Kajang telah diadakan buat pertama kalinya pada tahun ini yang dihadiri kira-kira 200 orang terdiri daripada Pengarah-Pengarah Bahagian Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Pengarah-Pengarah Institusi Kompleks Penjara Kajang dan Parol Negeri Selangor, pegawai-pegawai kanan, anggota lain-lain pangkat serta kakitangan awam. Hadir sama ialah Komisioner Jeneral Dato? Sri Haji Zulkifli Omar, Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Timbalan Komisioner Jeneral Dato' Haji Hassan Sakimon, Timbalan Ketua Pengarah Penjara (Keselamatan dan Koreksional) serta Komisioner Dato? Wan Abdul Rahman Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Penjara (Pengurusan).
Antara lain amanat Komisioner Jeneral Dato' Sri Haji Zulkifli Omar, setiap warga penjara perlu menitikberatkan soal integriti dalam pelaksanaan tugas, mematuhi segala undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan. Menyentuh perkembangan media sosial, beliau turut mengingatkan agar kakitangan dan anggota penjara tidak terlibat dalam memberi sebarang kenyataan berbaur fitnah, hasutan, penyebaran maklumat palsu serta sentimen perkauman menerusi media sosial mahupun media massa yang berpotensi menjadi viral dan memberi kesan negatif terhadap Jabatan dan Kerajaan.
Pada majlis ini juga, seramai lima Wardar Penjara dan tujuh Koperal Penjara telah menerima kenaikan pangkat Time-Based Berasaskan Kecemerlangan (TBBK) bagi jawatan Koperal Penjara dan Sarjan Penjara. Dalam pada itu, empat pegawai menerima kenaikan pangkat KX48 dan seorang KX54 manakala bagi penerima pingat pula, seramai 23 anggota menerima Pingat Ketua Pengarah Penjara bagi Kelas 1 dan Kelas 2.
""