22 Ogos 2019 - Taklimat Usahawan Bersama Jabatan Penjara Malaysia telah diadakan di Pejabat Urusan Melaka Halal Hub yang dihadiri oleh Pengarah Bahagian Parol dan Komuniti, KP Ibrisam Bin Abdul Rahman, Pengarah Penjara Negeri Melaka, YBhg. KP Datuk Abd Aziz bin Mohamad, Pengarah Pusat Koreksional Jasin, PKP Noratimah Binti Abu Bakar, dan wakil-wakil institusi Penjara Negeri Melaka dan disambut mesra oleh Encik Md. Zaini Bin Zainal, selaku Ketua Pegawai Eksekutif Halal Hub Negeri Melaka.
Taklimat menjurus ke arah program usahasama dengan Syarikat Halal Hub bagi menempatkan Orang Diselia untuk bekerja di syarikat Halal Hub. Langkah memperkenalkan pelaksanaan program usahasama ini bukan sahaja dapat mengurangkan kos pengurusan penghuni dan kesesakan di dalam penjara, malah apa yang lebih penting adalah peranan penglibatan masyarakat yang terbukti adalah faktor penting dalam menjayakan pemulihan penghuni. Kemudahan sumber tenaga manusia ini lebih mudah diperolehi di institusi-institusi koreksional di mana Orang Diselia dan Orang Di Parol ini telahpun selesai menjalani fasa pemulihan masing-masing dengan jayanya. Selepas taklimat dan penjelasan disampaikan kepada usahawan yang hadir, pihak Jabatan Penjara Malaysia berharap akan mendapat maklumbalas yang positif dari pihak Halal Hub khasnya. Program ini diakhiri dengan lawatan ke kilang Koko Minda salah satu produk bawah seliaan Halal Hub yang mempunyai lebih 90 Usahawan Bumiputra Daerah Jasin, Melaka.