| 
A+
Aa
A-
A
A
A

Peta Laman Aduan & Maklum Balas Hubungi Kami Soalan Lazim

Perutusan Tahun Baru 2019 Ketua Pengarah Penjara Malaysia

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

1.    Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana di atas limpah kurnia-Nya jua, segala cabaran, dugaan dan rintangan sepanjang tahun 2018 berjaya kita harungi. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga Jabatan Penjara Malaysia di atas komitmen, keazaman dan kerja keras berpasukan dalam melaksana tugas yang telah diamanahkan sepanjang tahun lalu.

2.    Sesungguhnya masa berlalu begitu pantas dan kedatangan tahun 2019 membuka lembaran baru yang akan kita tempuhi bersama.  Mudah-mudahan kedatangan tahun 2019 disambut dengan tekad yang kukuh dan niat positif untuk kita menanam keazaman, semangat kental penuh iltizam agar kita dapat bersama menghadapi cabaran yang semakin dinamik dan kompleks.  
 
3.    Kita meninggalkan tahun 2018 dengan pelbagai pencapaian meliputi aspek pemulihan, penganjuran persidangan antarabangsa dan kejayaan dalam bidang inovasi.  Mengimbas kembali, program pemulihan di luar tembok penjara melibatkan kerjasama pihak swasta menerusi Corporate Smart Internship (CSI) bagi Orang Di Parol (ODP) memberi impak yang besar terhadap pemulihan mereka.  Ketika ini terdapat 47 buah syarikat swasta di 12 buah negeri yang melibatkan 1,777 ODP mengikuti program CSI sejak pelaksanaanya pada tahun 2016. Program Reintegrasi Penghuni Industri (PRPI) yang dilaksanakan bersama Syarikat Lypometal Sdn. Bhd. mulai Mac 2018 melibatkan 35 Orang Diselia (ODS) di Sungai Petani, Kedah pula akan diperkembangkan ke institusi penjara terpilih.  Pertambahan pihak swasta menaruh kepercayaan untuk menggajikan bekas penghuni adalah satu perkembangan positif berhubung keyakinan mereka terhadap keberkesanan pemulihan yang dilaksanakan.

4.    Perlu diingat, asas pemulihan bermula dengan pengukuhan sahsiah diri penghuni menerusi Program Pembangunan Insan (PPI).  Pemulihan merangkumi aspek kaunseling, agama, disiplin diri, kemahiran vokasional, pendidikan dan laluan kerjaya hendaklah terus diperkukuhkan memandangkan ianya adalah aspek penting yang membolehkan program pemulihan sama ada di dalam atau di luar tembok penjara lebih berjaya pelaksanaannya.

5.    Persidangan Pentadbir Koreksional Asia Pasifik Kali Ke-38 Tahun 2018 (APCCA 2018) yang berlangsung di Melaka telah mencatat sejarah di atas penglibatan jumlah penyertaan terbesar iaitu sebanyak 27 buah negara, 2 organisasi iaitu ICRC dan UNAFEI serta pelapor APCCA.  Persidangan ini turut menerima maklumbalas positif dari negara-negara peserta berhubung perkongsian pelaksanaan dan kejayaan program pemulihan serta pengalaman pemulihan banduan.  Dalam bidang inovasi pula, Penjara  Pra Bebas Dusun Dato? Murad, Melaka telah mengharumkan nama Jabatan di persada antarabangsa apabila berjaya memenangi Anugerah Emas  menerusi projek inovasi wreen fish di International Convention on Quality Control Circles 2018 (IEQCC 2018) di Singapura.

6.    Pada tahun lalu juga,  sebanyak 24 perjawatan baru termasuk satu jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Pemasyarakatan) dan dua Bahagian baru iaitu Bahagian Agama dan Kaunseling serta Bahagian Banduan/Tahanan Radikal dan Berisiko Tinggi diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).  Pensrukturan semula Jabatan Penjara ini dapat memperkukuhkan sistem kepenjaraan selaras dengan peranannya yang bukan lagi semata-mata sebagai institusi penahanan tetapi juga sebagai institusi pembangunan dan pembentukan semula insan.

7.    Kedatangan tahun 2019 sudah tentunya akan memberi cabaran baru kepada seluruh warga Jabatan Penjara Malaysia.  Saya menyeru di sini agar kita semua hendaklah terus mengamalkan budaya kerja berprestasi tinggi, mengamal serta membudayakan amalan kerja cemerlang dan berintegriti.  Kita perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran reformasi Jabatan Penjara yang akan melibatkan penambahbaikan dalam aspek penahanan, pematuhan standard layanan, pemulihan, latihan kakitangan, fasiliti koreksional dan reintegrasi.  

8.    Di bahu kita tergalas harapan masyarakat untuk memastikan penghuni pulih sepenuhnya menjadi insan berguna tanpa mengulangi kesilapan selepas dibebaskan.  Justeru, kita perlu bersedia menerima perubahan dan cabaran demi kecemerlangan Jabatan.  Apa yang tersirat di sebalik agenda reformasi Jabatan Penjara ini adalah usaha gigih dan bersungguh-sungguh amatlah diperlukan dari segenap lapisan warga Jabatan ini agar penambahbaikan dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

9.    Selaras dengan agenda Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penjara agar 2/3 banduan sabitan menjalani pemulihan di dalam komuniti menjelang tahun 2030, kita juga perlu bersiap sedia dengan pelaksanaan probation and community corrections.  Konsep pemulihan di dalam komuniti  ini antara lain melibatkan penangguhan hukuman (deferred sentences), parol harian (parol day), tahanan rumah (home detention), perintah pemasyarakatan (community order) dan perintah pengawasan (prison supervision).  Langkah memperkenalkan pelaksanaan probation and community corrections ini bukan sahaja dapat mengurangkan kos pengurusan penghuni dan kesesakan di dalam penjara, malah apa yang lebih penting adalah peranan penglibatan masyarakat yang terbukti adalah faktor penting dalam menjayakan pemulihan penghuni.

10.    Suka saya ingatkan di sini juga, dalam kita melaksanakan tugas  janganlah sesekali kita terleka dan terlena.  Kawalan keselamatan hendaklah diberi perhatian penting bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.  Pemindahan penghuni mengikut transisi seperti ditetapkan hendaklah dilaksanakan secara teratur agar tidak berlaku kesesakan serius di institusi penjara tertentu. Layanan secara berperaturan, sentiasa membuat pemantauan dan lawatan dapat meminimakan tekanan untuk mengekalkan situasi yang harmoni di dalam penjara.   Situasi ini memerlukan kakitangan yang bukan hanya mahir dalam tugasan harian tetapi mempunyai semangat waja, kental dan berfikiran positif dalam segala bentuk tindakan.   

11.    Di akhir kata, marilah kita sama-sama memperbaiki diri dari apa jua kelemahan dek kealpaan sepanjang tahun lalu agar kita dapat menghadapi cabaran dengan persediaan yang mencukupi dan menjadi warga kerja yang berjaya.  Laksanakanlah amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh iltizam, bertanggungjawab dan berintegriti. Harungilah hari-hari yang mendatang dengan semangat dan jiwa yang kental bagi meneruskan usaha-usaha pemulihan penghuni.  Saya berdoa ke hadrat Allah S.W.T. semoga kita terus mengorak langkah dan menempa kejayaan pada tahun 2019 ini.  

?SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2019?

Sekian, terima kasih.

(KJP DATO? SRI HAJI ZULKIFLI BIN OMAR)
""