KAMUNTING, 21 September 2017 (Khamis) bersamaan 30 Zulhijjah 1438, Unit Agama dengan kerjasama Unit Pemulihan Pusat Koreksional Kamunting telah menganjurkan satu program bersempena ketibaan tahun baru hijrah 1439 iaitu Majlis Zikir Munajat Bersama Banduan Sempena Ambang Muharram 1439H. Program ini telah diisi dengan aktiviti-aktiviti kerohanian bermula dengan bacaan zikir munajat, solat taubat dan dhuha, bacaan Surah Yaasin serta tahlil, dan tazkirah ringkas sempena ketibaan tahun baru hijrah. Seramai 161 orang banduan telah hadir untuk menjayakan program ini yang terdiri daripada 3 blok iaitu Blok Fajar, Blok Lestari dan Blok Kekal. Program bermula dari jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 12.00 tengah hari ini turut dihadiri oleh Ketua Unit Pemulihan KIP Mohd Nazree bin Abd Malik sebagai Dif Kehormat di dalam program ini. Majlis diakhiri dengan persembahan bacaan Al-Quran oleh peserta-peserta hafazan Al-Quran yang akan bertanding di Perujian Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Banduan 2017 mewakili Pusat Koreksional Kamunting di Penjara Tapah.
""