Pada 3 November 2016 (Khamis), telah berlangsung Majlis Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda di Sekolah Henry Gurney Keningau. Program ini merupakan jalinan kerjasama di antara Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah bersama Jabatan Penjara Malaysia. Sebanyak 2 buah sekolah menyertai program ini iaitu Sekolah Henry Gurney Keningau dan Sekolah Henry Gurney (Wanita) Kota Kinabalu. Pada majlis pentauliahan itu, para pelajar dari Sekolah Henry Gurney (Wanita) Kota Kinabalu dan Sekolah Henry Gurney Keningau telah menerima pingat Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda di mana 23 orang pelajar merupakan penerima sijil pingat Tahap Perak dan 25 orang pelajar penerima sijil pingat Tahap Gangsa. Ini merupakan tahun ketiga program ini dilaksanakan di Sekolah Henry Gurney Zon Sabah. Pada majlis ini, para pelajar telah membuat 3 persembahan iaitu Tarian 1 Malaysia oleh pelajar SHG (Wanita) Kota Kinabalu serta persembahan nyanyian dan tarian Zapin oleh para pelajar SHG Keningau. Majlis ini telah dirasmikan oleh TKP Hj. Suria bin Hj. Idris, Pengarah Penjara Negeri Sabah / W.P Labuan. Majlis ini turut dihadiri oleh Puan Hasmah binti Ajem, Ketua Pembangunan Unit Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan (P) Negeri Sabah, PKP Lim Kim Mooi, Pengarah Penjara Wanita Kota Kinabalu, PKK Rosman bin Norman, Pengarah Penjara Pusat Kota Kinabalu dan wakil dari Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
""