Sambutan Hari Penjara Ke-226 telah berlangsung pada 20 Februari 2016 (Sabtu) bertempat di Padang Merdeka, Kuching Sarawak yang dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Merangkap Menteri Dalam Negeri. Kira-kira 4,000 orang hadir memeriahkan majlis tersebut. Hadir sama ialah YB. Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing, Menteri Kemajuan Tanah Sarawak, YB. Datuk Nur Jazlan bin Mohamed Timbalan Menteri Dalam Negeri I, YB Tuan Masir Kujat, Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Menteri-menteri Kerajaan Negeri Sarawak, Dato' Sri Alwi bin Haji Ibrahim , Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, YBhg. Dato' Sri Haji Zulkifli Omar Komisioner Jeneral Penjara, YBhg. Dato' Wan Ali bin Besar, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Ketua-Ketua Jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri, Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha KDN, Setiausaha-Setiausaha Bahagian, Timbalan-Timbalan Komisioner Jeneral Penjara, Pengarah-Pengarah Bahagian, Pengarah-Pengarah Penjara Negeri, Ketua-ketua kaum dan penduduk di sekitar Bandaraya Kuching.
YAB. Timbalan Perdana Menteri dalam ucapannya berkata kejayaan Jabatan Penjara mengurangkan kadar residivis di bawah paras 8.7% peratus adalah hasil daripada kolaborasi dengan pelbagai agensi seperti JAKIM, PDRM dan sebagainya. Tambahnya, Jabatan Penjara berjaya meraih pendapatan dan melaksanakan penjimatan melalui penghasilan produk penjara yang mencecah nilaian RM32.2 juta pada tahun 2015 berbanding RM28.9 juta tahun sebelumnya. Menurutnya lagi, peningkatan pendapatan ini adalah satu perkembangan positif dan mahu melihat produk penjara terus diyakini pengguna serta dapat menembusi pasaran antarabangsa. Pelancaran sistem jualan produk MyPride secara online juga diharapkan dapat menjana lebih pendapatan kepada Jabatan Penjara Malaysia dalam memasarkan produk hasil tangan banduan secara lebih meluas. YAB Timbalan Perdana Menteri juga berharap Program Pemulihan Pemasyarakatan dapat diperluaskan ke Negeri Sarawak memandangkan kejayaan program tersebut yang dilaksanakan di Semenanjung Malaysia. YAB Timbalan Perdana Menteri secara khususnya mengucapkan tahniah kepada Jabatan Penjara Malaysia terutamanya institusi penjara di Negeri Sarawak kerana sentiasa mengambil inisiatif untuk memulihkan penghuni yang ditahan.
Sempena sambutan Hari Penjara ke-226 ini juga , buat julung kalinya dianugerahkan Pangkat Kehormat kepada 4 individu penting yang membantu dalam pelaksanaan program-program koreksional antaranya YB. Dato' Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar , Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, YB Tan Sri William Mawan Ikom, Menteri Pembangunan Sosial Sarawak, YB. Datuk Hajah Fatimah binti Abdullah, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Sarawak dan YBhg Dato' Haji Sheikh Ahmad Dusuki bin Sheikh Mohamad, Pengerusi Persatuan Orang Kota Bharu (OKB). Seramai 22 individu menerima Pingat Bakti Setia iaitu pengiktirafan tertinggi Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Penjara di atas khidmat bakti mereka dalam pemulihan penghuni. Sijil Penghargaan turut diberikan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO's) yang sentiasa terlibat dalam program-program pemulihan penghuni di seluruh institusi Penjara Sarawak.
"Peneraju Perkhidmatan Korektif" dipilih sebagai tema sambutan Hari Penjara ke-226 selaras dengan visi baru Jabatan Penjara yang membawa pengertian tentang usaha bersungguh Jabatan dalam memastikan program pemulihan yang efektif kepada banduan agar mereka mampu pulih sepenuhnya, boleh berdikari selepas dibebaskan dan tidak kembali mengulangi melakukan kesalahan jenayah.
""