Sambutan Hari Penjara Ke-225 telah berlangsung pada 19 Mac 2015 (Khamis) bertempat di Pusat Latihan Pegawai Penjara Malaysia (PULAPEN), Taiping, Perak yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri. Kira-kira 2,000 orang hadir memeriahkan majlis tersebut. Hadir sama ialah Komisioner Jeneral Penjara Dato' Sri Haji Zulkifli Omar, Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Dato? Sri Adenan Ab. Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri dan Dato' Wan Ali Besar, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Dalam Negeri.
Menteri Dalam Negeri ketika dalam ucapannya berkata kejayaan Jabatan Penjara mengurangkan kadar residivis di bawah paras sembilan peratus adalah hasil daripada modul pemulihan yang digunakan memberi tumpuan kepada semua perkara secara menyeluruh. Tambahnya, Jabatan Penjara berjaya meraih pendapatan dan melaksanakan penjimatan melalui penghasilan produk penjara yang mencecah nilaian RM28.8 juta pada tahun 2014 berbanding RM21.5 juta tahun sebelumnya. Menurutnya lagi, peningkatan pendapatan kira-kira RM7.3 juta ini adalah satu perkembangan positif dan mahu melihat produk penjara terus diyakini pengguna serta dapat menembusi pasaran antarabangsa.
Sempena sambutan Hari Penjara ke-225, seramai 28 anggota penjara dianugerahkan Pingat Kedaulatan Negara yang merupakan pingat penghargaan khas untuk anggota keselamatan dan kakitangan awam yang berjuang dan memberi khidmat sokongan dalam Op Daulat di Sabah. Dalam pada itu, 22 individu pula menerima Pingat Bakti Setia iaitu pengiktirafan tertinggi Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Penjara di atas khidmat bakti mereka dalam pemulihan penghuni. Sijil Penghargaan turut diberikan kepada dua Badan Bukan Kerajaan (NGO's), tiga bekas penghuni menerima Sijil Kepujian Modal Insan Berjaya dan 13 bekas penghuni menerima Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 yang telah tamat mengikuti Program Pemanduan Kenderaan Perdagangan bersama Metro Driving Academy.
Sambutan Hari Penjara Ke-225 turut diwarnai dengan Majlis Tamat Latihan Pegawai Penjara melibatkan 262 orang pelatih yang telah tamat mengikuti Kursus Sijil Asas Pengurusan Penjara selama tiga bulan. Pelatih Terbaik Keseluruhan ialah W21575 Kamal Khairi Abdullah dari Penjara Tapah, Pelatih Terbaik Akademik ialah W21763 Akmal Ahmad dari Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, Pelatih Terbaik Menembak ialah W21735 Mohd Ali Mohd Yassin dari Penjara Sandakan dan Pelatih Terbaik Latihan Luar ialah W21538 Muhammad Norkhairi Zainal Mat Zaid dari Penjara Pokok Sena.
"Peneraju Perkhidmatan Korektif" dipilih sebagai tema sambutan Hari Penjara ke-225 selaras dengan visi baru Jabatan Penjara yang membawa pengertian tentang usaha bersungguh Jabatan dalam memastikan program pemulihan yang efektif kepada banduan agar mereka mampu pulih sepenuhnya, boleh berdikari selepas dibebaskan dan tidak kembali mengulangi melakukan kesalahan jenayah.