Putrajaya, 16 Disember 2015 - Jabatan Penjara Malaysia telah disenaraikan di antara tiga agensi finalis Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) 2015. Anugerah ini telah disertai oleh 85 agensi dengan memperkenalkan projek inovasi yang dilaksanakan di peringkat agensi masing-masing. Projek inovasi yang diketengahkan oleh jabatan telah berjaya melepasi tiga peringkat jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Saringan di peringkat MAMPU dipengerusikan Timbalan Ketua Pengarah MAMPU, Jawatankuasa Pencalonan dipengerusikan oleh YBhg. Ketua Pengarah MAMPU dianggotai oleh pakar-pakar inovasi dalam sektor awam, swasta, akademia dan NGO serta Jawatankuasa Pemilihan dipengerusikan oleh YBhg. Ketua Setiausaha Negara.
Penyediaan dokumentasi inovasi dan pembentangan kepada setiap jawatankuasa AIPM adalah melalui pendekatan kerjasama dan pencambahan idea strategik di antara pihak jawatankuasa inovasi peringkat jabatan dan ATM. Dokumentasi ini memberi penekanan kepada empat elemen inovasi iaitu kreativiti, keberkesanan, relevan dan signifikan projek inovasi yang dikemukakan. Jabatan juga memanifestasikan hasil inovasi ini untuk tatapan hadirin melalui Tinta Inovasi yang turut diadakan sempena majlis penganugerahan tersebut yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
YAB Dato? Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah menyempurnakan majlis tersebut yang turut dihadiri oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, Ketua-ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha Kerajaan Negeri, Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri, pihak swasta dan NGO. YBhg. Dato? Sri Haji Zulkifli bin Omar, Komisioner Jeneral Penjara hadir bagi menerima penghargaan sebagai finalis Anugerah Inovasi Perdana Menteri 2015 daripada YAB. Perdana Menteri Malaysia. Sekalung Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat.
""