Program Mesej Dari Penjara Peringkat Zon Timur Tahun 2014 telah diadakan pada 13 November 2014 bertempat di Penjara Marang, Terengganu. Program ini adalah anjuran bersama Jabatan Penjara Malaysia dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia dan Penjara Marang, Terengganu. Pada tahun ini Penjara Marang telah dipilih sebagai institusi pengelola bagi Program Mesej Dari Penjara Peringkat Zon Timur. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. KJP Dato' Sri Haji Zulkifli bin Omar, Ketua Pengarah Penjara Malaysia. Program Mesej Dari Penjara merupakan satu program kebajikan berbentuk 'community base' yang dilaksanakan sebagai komitmen Jabatan Penjara Malaysia terhadap masyarakat. Usaha murni ini diwujudkan dengan hasrat untuk memberi pendidikan pencegahan kepada para pelajar dan masyarakat melalui perkongsian pengalaman, ceramah interaktif, forum, persembahan pentomin dan paparan bahan-bahan pameran. Seramai 60 tetamu jemputan khas dan 500 peserta telah hadir di program ini yang terdiri daripada Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Institusi Zon Timur, penggawa, ahli Lembaga Hakim Pelawat, persatuan-persatuan belia, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan, Imam, Kakitangan Penjara Institusi Zon Timur, pelajar IPTA dan pelajar-pelajar sekolah menengah.
Aturcara program bermula pada jam 9.00 pagi dengan Majlis Perasmian Program Mesej Dari Penjara bertempat di Dewan Dato' Ibrahim, PULAPEN Terengganu. Upacara perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. KJP Dato' Sri Haji Zulkifli bin Omar, Ketua Pengarah Penjara Malaysia. Tetamu kenamaan yang turut hadir dalam majlis perasmian ialah YBhg. Profesor Dr. Mohd Ekhwan bin Toriman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA), YBhg. Profesor Dr. Mohd Effendy bin Abd. Wahid Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Universiti Malaysia Terengganu, YBhg. KPj. Dato' Alzafry Mohamed Alnassif bin Mohamed Adahan, Pengarah Dasar Kepenjaraan, Ibu Pejabat Penjara Malaysia dan Y.S KPj. Jamaludin bin Saad, Pengarah Pengurusan Banduan, Ibu Pejabat Penjara Malaysia.
Di Majlis Perasmian itu juga turut diadakan Majlis Menandatangani Perjanjian Mengenai Usahasama Penyelidikan Diantara Jabatan Penjara Malaysia Dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Usahama ini adalah berkaitan Program Pendekatan Komprehensif Rawatan Penagihan Opiat (UniSZA) dan Kajian Sekolah Integriti "Cognitive Behavior Therapy" (UMT). Majlis penyampaian sijil kepada bekas penghuni penjara yang bekerjaya dan penyampaian sijil kecemerlangan dalam bidang akademik juga diadakan semasa majlis perasmian. Seramai 6 orang bekas banduan telah menerima sijil penghargaan dalam majlis tersebut.
Setelah selesai majlis perasmian, Semua tetamu kenamaan dan Ketua-Ketua Jabatan dijemput untuk membuat lawatan ke dalam penjara bagi Majlis Pelancaran Program Pendekatan Komprehensif Rawatan Penagihan Opiat di Klinik Dalam dan Pelancaran Kajian Sekolah Integriti "Cognitive Behavior Therapy" di Sekolah Integriti Penjara Marang. Manakala para peserta yang lain dijemput untuk mengikuti sesi ceramah Mesej Dari Penjara yang telah disampaikan oleh ASP Md. Ali bin Md. Daud (MCPF, Terengganu) dan PKP Adinaraina A/L Subramaniam (AKM, Langkawi).
Aktiviti pameran juga diadakan oleh Jabatan Penjara Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Terengganu, Parol Negeri Terengganu dan Unit Pameran Bas Bergerak Penjara Kajang. Pihak penganjur merakamkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Program Mesej Dari Penjara Peringkat Zon Timur Tahun 2014 ini.
""