Sambutan Hari Penjara Ke-206 telah berlangsung pada 1 November hingga 3 November 2013 bertempat di Dataran Ayer Keroh, Melaka. Buat julung kalinya, sambutan Hari Penjara diadakan di luar tembok penjara selaras dengan matlamat untuk "memasyarakatkan penjara" bersama komuniti serta membawa "Mesej Dari Penjara" bagi mencegah kegiatan jenayah dan kemasukan semula ke penjara. Sambutan kali ini bertemakan ?Transformasi Berjaya Masyarakat Sejahtera? yang membawa pengertian bahawa perubahan sistem pemulihan insan kian berkembang selaras dengan perubahan semasa.
Pengisian sambutan Hari Penjara Ke-206 terbahagi kepada dua iaitu segmen pertama melibatkan aktiviti formal pada 1 November 2013 seperti Perbarisan Kawalan Kehormatan, Penyampaian Pingat, Anugerah, Sijil Penghargaan dan Persembahan Mono Drama, Pelancaran program "We Walk With You" manakala segmen kedua adalah karnival melibatkan pameran Jabatan dan Agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri, jualan produk-produk penjara, persembahan kebudayaan dan kesenian, acara sukan iaitu Pertandingan Tarik Tali dan Gusti Lengan Terbuka Penjara Malaysia, pertandingan memasak anjuran Persatuan Isteri, Anak-Anak Dan Anggota Wanita Penjara Malaysia (PERSIAP), persembahan Unit K9, persembahan pancaragam Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka dan pelbagai lagi aktiviti bagi menarik perhatian serta penyertaan pengunjung sepanjang tiga hari program berlangsung.
Majlis perasmian Hari Penjara Ke-206 diadakan pada 1 November 2013 yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, Timbalan Menteri Dalam Negeri. Dalam ucapannya, beliau turut mengumumkan pelaksanaan kenaikan pangkat secara time-based melibatkan dua gred jawatan iaitu Gred KX 20 Koperal Penjara dan KX22 Sarjan Penjara. Tambahnya lagi, program pemulihan Jabatan Penjara Malaysia turut mendapat pengiktirafan negara luar dan ada negara tertentu telah menggunapakai model pemulihan tersebut bagi diaplikasi dalam pemulihan banduan di negara mereka.
Turut hadir sama ialah Yang Berbahagia Dato' Daud bin Tahir, Pemangku Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri dan Yang Berbahagia Komisioner Jeneral Dato' Sri Haji Zulkifli bin Omar, Ketua Pengarah Penjara Malaysia.
Kira-kira 5,000 pengunjung hadir sepanjang tiga hari program ini berlangsung.