Kompleks Penjara Seberang Perai, Pulau Pinang telah disempurnakan perasmiannya oleh Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang pada 17 Jun 2013 lalu. Turut hadir, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato' Seri Utama Hajah Majimor binti Shariff, Yang Berhormat Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Menteri Dalam Negeri, Yang Berbahagia Dato' Sri Abdul Rahim bin Mohamad Radzi, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Yang Berbahagia Dato' Sri Haji Zulkifli bin Omar, Ketua Pengarah Penjara Malaysia.
Projek pembinaan Penjara Seberang Perai telah diluluskan oleh kerajaan di bawah RMK 9 dan dilaksanakan di bawah RMK 10 dengan kos pembinaan berjumlah RM 251.4 juta. Pembinaannya dimulakan pada September 2006 dan disiapkan pada Jun 2009 serta mula beroperasi pada September 2009. Ia bertujuan untuk mengatasi masalah kesesakan yang dihadapi oleh Penjara Pulau Pinang serta menyediakan kemudahan penempatan dan latihan pemulihan yang lebih kondusif bagi banduan. Penjara ini yang mampu menampung seramai 1,500 banduan diuruskan oleh seramai 450 anggota dan pegawai penjara yang diketuai oleh seorang Penolong Kanan Komisioner Penjara. Bagi melicinkan lagi pengurusan kepenjaraan serta pelaksanaan program pemulihan, penjara ini turut dilengkapi dengan Sistem Keselamatan Elektronik Bersepadu serta Sistem Pengurusan Maklumat Pesalah secara berkomputer.
Dengan beroperasi Penjara Seberang Perai yang dikhaskan untuk menempatkan banduan sabitan dadah serta banduan wanita, Penjara Pulau Pinang kini hanya menempatkan banduan reman lelaki untuk Mahkamah Pulau Pinang dan sekitarnya.
Pengkategorian sesebuah Penjara dilaksanakan oleh Jabatan Penjara merupakan salah satu langkah bagi meningkatkan lagi keberkesanan pemulihan melalui pengkhususan pemulihan banduan di sesebuah penjara berasaskan kesalahan. Bagi tujuan yang sama langkah penambahbaikan modul pemulihan secara berterusan akan dilaksanakan dengan bantuan pakar-pakar yang terdiri dari ahli akademik universiti tempatan.
Melalui program yang ditambahbaik serta melibatkan pemulihan di luar tembok penjara bersama komuniti, kadar residivis atau kes kemasukan berulang hanyalah 7.97% pada tahun 2012 dan juga sehingga Mei 2013. Pencapaian ini adalah lebih baik jika dibandingkan dengan pencapaian penjara-penjara di luar negara. Sehubungan itu beberapa Negara telah datang untuk meneliti dan mempelajari sistem yang digunakan oleh Jabatan Penjara Malaysia.
Jabatan Penjara akan memperkembangkan lagi langkah pemulihan di dalam dan di luar penjara dengan kerjasama dari berbagai kementerian, agensi kerajaan, pihak swasta, institusi pengajian tinggi, yayasan, pertubuhan dan NGOs dalam berbagai bidang. Kerjasama yang semakin berkembang ini menunjukkan komitmen yang tinggi dari pihak berkenaan dalam memastikan banduan telah benar-benar dipulihkan, diberikan latihan dan sokongan agar mereka lebih bersedia kembali semula bersama masyarakat setelah dibebaskan.
Sebagai bukti kejayaan hasil kerjasama tersebut ialah melalui Sistem Parol, Program Pemulihan Pemasyarakatan, Perintah Kehadiran Wajib, Rumah Perantaraan serta Pembebasan Berlesen. Seramai 9,949 banduan atau bekas banduan yang telah selesai menjalaninya, hanya 0.42% sahaja yang kembali melakukan kesalahan dan masuk semula ke penjara. Jabatan amat berterima kasih di atas sokongan berterusan oleh pihak berkenaan demi memastikan penghuni penjara mempunyai peluang yang luas untuk dipulihkan.
""