Selasa, 14 Febuari 2012, bertempat di Perkarangan Penjara Seremban, Negeri Sembilan, telah berlangsung Program KAR1SMA 1AZAM, iaitu majlis penyampaian bantuan 1AZAM kepada bekas ODS. Majlis dianjurkan oleh Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Program bantuan 1AZAM ini atau dikenali sebagai Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) merupakan usaha kerajaan meningkatkan kualiti hidup golongan berpendapatan rendah serta memastikan tiada kelompok rakyat yang tercicir daripada menikmati faedah pembangunan dan kemakmuran negara di mana bekas ODS turut diberi peluang.
Majlis telah berlangsung pada jam 09.00 pagi yang dihadiri 200 tetamu termasuk Pegawai-Pegawai Jabatan Penjara Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Wakil ATM, NGO serta pihak media. Turut hadir ialah Prof. Madya Dr. Mohamed Fadzil Che Din, Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM) mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Y.S. Komisioner Wan Abdul Rahman bin Abdullah Timbalan Ketua Pengarah Penjara (Pengurusan).
Pada majlis ini, seramai 18 orang bekas ODS telah hadir bersama keluarga mereka bagi menerima bantuan AZAM Niaga dan AZAM khidmat yang diluluskan, manakala 10 lagi bekas ODS yang menerima bantuan 1AZAM tidak dapat hadir. Pakej bantuan yang bernilai lebih kurang RM 3000.00 hingga RM 5000.00 akan dihantar ke lokasi dimana mereka akan memulakan perniagaan kecil tersebut. Majlis diakhiri dengan lawatan ke tapak pameran dan sidang media pada jam 10.30 pagi.
""