Tarikh 19 Mei 2011, tercatat satu lagi sejarah bagi Jabatan Penjara Malaysia apabila Pusat Pembenihan dan Asuhan Ikan Air Tawar Program Latihan Perladangan Pemulihan Partisipatif (LATIFF), Seksyen Vokasional dan Industri Jabatan Penjara Malaysia di Penjara Penor telah disempurnakan perasmiannya oleh YH Dato' Ahamad Sabki Mahmod Ketua Pengarah Perikanan Malaysia bersama Ketua Pengarah Penjara Malaysia yang diwakilli oleh YBhg. TKJP Dato' Haji Hassan b. Sakimon .
Majlis turut dihadiri oleh Pengarah Pengurusan Banduan Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Pengarah Perikanan Negeri Pahang, Ketua-ketua Jabatan di Negeri Pahang, Pengarah-Pengarah Institusi Penjara serta masyarakat setempat.
Sempena majlis perasmian ini juga turut diadakan Pertandingan Memasak di mana seramai 15 peserta telah mengambil bahagian serta diadakan demonstrasi masakan Ikan Air Tawar oleh wakil Jabatan Perikanan Negeri Pahang. Pertandingan telah dimenangi oleh Puan Zunikal b. Yusof dari Penjara Penor dengan tema 'Bebola Ikan Talapia Goreng Berempah'. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Puan Hajjah Rodiah bt. Idris, wakil Pengerusi Puspanita Jabatan Perikanan dan PKK Zainah bt. Pardi, wakil Pengerusi Persiap Penjara Malaysia.
Majlis berakhir kira-kira jam 1.30 tengahari di mana semua para tetamu telah disajikan dengan jamuan makan tengahari bertemakan masakan ikan air tawar, ikan patin masak tempoyak, ikan keli goreng berlada serta ikan talapia bakar.