| 
A+
Aa
A-
A
A
A

Peta Laman Aduan & Maklum Balas Hubungi Kami Soalan Lazim

Majlis Perasmian Pusat Pemulihan Pemasyarakatan Kem Batu 10, Kuantan Pahang Oleh Yb Menteri Dalam Negeri

Kuantan, Sabtu, 23 Julai 2011, YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein Menteri Dalam Negeri telah merasmikan Pusat Pemulihan Pemasyarakatan di Kem Batu 10, Kuantan, Pahang. Pusat Pemulihan Pemasyarakatan ini merupakan pusat yang ke-lima siap dibina untuk menempatkan banduan (ODS) yang mengikuti Program Pemulihan Pemasyarakatan sebagai persediaan awal kepada mereka untuk pengintegrasian dan penyesuaian semula mereka ke dalam komuniti sebelum dibebaskan. Pusat ini mempunyai kapasiti bagi menempatkan 200 penghuni pada sesuatu masa.
Majlis perasmian telah berlangsung pada jam 11.00 pagi yang dihadiri oleh seramai 700 tetamu jemputan termasuk Pegawai-Pegawai Jabatan Penjara Malaysia, ATM serta pihak media. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, KSU Kementeria Dalam Negeri, KSU Kementerian Pertahanan, Komisioner Jeneral Penjara dan Panglima Tentera Darat.



Pada majlis perasmian kali ini satu memorandum persetujuan (MOU) antara pihak TEKUN Nasional, Jabatan Penjara dan Angkatan Tentera Malaysia telah ditandatangani. Ia merupakan satu suntikan baru bagi ODS yang telah berjaya dalam sesuatu kursus kemahiran di lima Pusat Pemulihan Pemasyarakan di seluruh negara untuk memohon bantuan modal bagi memulakan perniagaan dari Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN). Seramai 10 ODS telah menerima surat tawaran pinjaman perniagaan pada majlis tersebut. Manakala seramai 18 ODS pula telah menerima Sijil Kursus Urut Refleksologi yang telah dikendalikan oleh Kolej Komuniti Kluang, Johor.



YB Menteri Dalam Negeri turut meluangkan masa melawat persekitaran Pusat Pemulihan Pemasyarakatan. YB Menteri Dalam Negeri telah dibawa melihat aktiviti kebudayaan yang terdapat dalam Sub-Modul Pemulihan 1Malaysia, Kelas Pembangunan Sahsiah, Demonstrasi urut refleksologi dan gunting rambut oleh ODS yang telah berjaya dalam kursus, melihat ODS melayari Portal Jobsmalaysia bagi mencari peluang pekerjaan yang sesuai dengan bantuan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dan demonstrasi penggunaan Telefon Prabayar.  Majlis diakhiri dengan sidang media pada jam 12.30 tengah hari di Pusat Pemulihan Pemasyarakatan Kem Batu 10, Kuantan, Pahang.

 

""