Kuala Lumpur, 23 Feb. 2011 : Jabatan Penjara Malaysia sekali lagi mengorak langkah mentransformasi program pemulihan penghuni melalui pendekatan seni. Album CIPTA terhasil dan dilancarkan bersama antara Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengajian Tinggi di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Turut hadir dalam majlis perlancaran album tersebut adalah Y.B Datuk Wira Abu Seman Yusop, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Y.B Dato' Dr. Hou Kok Chung, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YS. KPj Wan Mohamad Nazarie Wan Mahmood, Timbalan Ketua Pengarah Penjara (Operasi), Y.Bhg. Profesor Dato' Dr. Muhammad Muda, Naib Canselor USIM, pegawai-pegawai kanan kedua-dua agensi, para penyanyi, kompesor dan penulis lirik bagi lagu –lagu yang diaudiokan.
Transformasi program pemulihan ini dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Impak yang diharapkan melalui usaha ini bersifat multilateral iaitu keinsafan penghuni, kesedaran jenayah oleh mahasiswa serta sokongan dan dokongan masyarakat terhadap inisiatif pemulihan ke atas penghuni yang dijalankan oleh Jabatan Penjara Malaysia.
Kelangsungan trasformasi pemulihan melalui pendekatan seni ini maka terhasillah Album CIPTA yang merupakan himpunan lagu-lagu patriotik terbaik sempena Program Festival Cipta Lagu Patriotik (CIPTA) semenjak tahun 2008 sehingga 2010. Sepanjang tempoh tersebut sebanyak 100 lagu dan lirik patriotik telah dihasilkan oleh penghuni penjara dan mahasiswa USIM.
Sebanyak 6 lagu terbaik dimuatkan dalam Album CIPTA ini yang mempunyai keunikkan tersendiri dengan pelbagai rentak kontemporori seperti Jazz, Pop Rock, Inang, RnB, Keroncong dan Balada. Dokumentasi audio ini bertujuan menyemarak semangat jati diri dan rasa kecintaan yang tinggi kepada tanahair dalam usaha mencetuskan pengajaran yang sangat berguna kepada masyarakat khususnya dikalangan remaja. Kolaborasi pelbagai pihak ini mampu memperkasakan program pemulihan ke atas penghuni.