04 April 2011 Isnin, Penjara Sungai Petani, Program Bacalah Kamu Masih Dihati dan Perasmian Perpustakaan Dato Nik Ariffin Penjara Sungai Petani, Kedah telah disempurnakan oleh Y.Bhg KJP Datuk Wira Hj. Zulkifli Bin Omar, Ketua Pengarah Penjara Malaysia bersama Y.Bhg Dato Raslin Bin Abu Bakar Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia.
Program “Bacalah...Kamu Masih Di Hati” ini merupakan salah satu strategi yang terkandung dalam Arah Tuju Program Galakan Membaca 2011 Perpustakaan Negara Malaysia untuk memperhebatkan program galakan membaca bersama golongan khas dan istimewa . Program ini bertujuan untuk memupuk serta mendekatkan penghuni-penghuni institusi pemulihan seperti penjara kepada Budaya Membaca supaya tidak dipinggirkan dalam arus pembangunan minda masyarakat.
Program “Bacalah...Kamu Masih Di Hati” pertama kali diadakan dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia melalui penganjuran siri pertama pada 31 Mei 2010 di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas Melaka. Program kali ini yang diadakan di Sekolah Integriti Sungai Petani merupakan suatu kesinambungan dalam memastikan “Bacalah...Kamu Masih Di Hati” terus memainkan peranannya dalam merealisasikan aspirasi menjadikan amalan membaca sebagai budaya hidup masyarakat Malaysia.
Turut hadir ialah Y. Bhg Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie, Angkasawan Negara bagi menyampaikan ceramah motivasi kepada jemputan.