Selari dengan dasar dan matlamat membangunkan modal insan serta "Pendidikan Untuk Semua", Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama erat bersama Kementerian Pelajaran Malaysia telah melancarkan Aliran Vokasional dan Kemahiran Sekolah Integriti Jabatan Penjara.
Aliran Vokasional dan Kemahiran diperkenalkan sebagai tambahan kepada aliran akademik yang sedia ada bagi membuka peluang kepada pelajar-pelajar Sekolah Integriti yang kurang berkemampuan untuk mengambil PMR atau SPM, tetapi lebih cenderung kepada aliran kemahiran. Bagi sekolah integriti, penentuan kelas adalah tidak berdasarkan tahap umur, sebaliknya berdasarkan pencapaian/aras akademik.
Majlis pelancaran tersebut telah berlangsung di Dataran Hijau Kuning, Penjara Sungai Petani yang mana telah disempurnakan oleh Y.B. Datuk Wira Abu Seman bin Yusop, Timbalan Menteri Dalam Negeri pada 20 Februari 2010. Turut hadir bersama di dalam majlis tersebut adalah Y. Bhg. Dato' Hj. Md. Nor b. Hashim, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN, Dr. Hj. Khair b. Mohamed Yusof, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Y. Bhg. KJP Datuk Wira Hj. Zulkifli b. Omar, Ketua Pengarah Penjara Malaysia serta jemputan-jemputan Pegawai Kerajaan sekitar Daerah Kuala Muda dan Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan Penjara. Para jemputan telah dibawa untuk melawat ke Sekolah Integriti bagi meninjau kemudahan dan proses pembelajaran pelajar-pelajar.
""