Aturcara program bermula jam 9.00 pagi itu melibatkan seramai 51 orang tahanan (POPOC) dan sebahagian pegawai-pegawai dan anggota-anggota Unit Runding Cara Tahanan. Pelbagai persediaan diatur sebelum program bermula antaranya penyediaan bahan-bahan membuat dodol, kawah dan bahan-bahan yang digunakan. Kerjasama serta penglibatan daripada daripada semua pihak, akhirnya 4 kawah dodol telah siap dimasak dengan mengambil masa lebih kurang 6 jam dan kemudian aktiviti membungkus dodol turut dibuat dalam suasana yang meriah untuk diedarkan kepada lebih 1206 penghuni PPA Simpang Renggam. Kepuasan dan kemeriahan jelas terpancar di wajah pihak yang terlibat apabila program yang dianjurkan ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah dan ianya merupakan pengalaman pertama yang amat manis bagi tahanan-tahanan sepanjang tempoh ditempatkan di PPA Simpang Renggam.
Program turut dimeriahkan dengan kehadiran TKPj. Jamaludin Bin Saad, Pengarah PPA/ Penjara Simpang Renggam dan PP Azman Bin Mohd. Ali selaku Ketua Unit Pemulihan yang turut hadir dalam program tersebut. Program yang julung-julung kali diadakan ini, diharap menjadi acara tahunan dalam mengisi program yang dianjurkan oleh Unit Pemulihan PPA Simpang Renggam dan menjadi kenangan yang manis dalam diari kehidupan mereka. Program ini juga diharap dapat memupuk nilai-nilai murni seperti semangat gotong-royong, bertolak ansur dan saling bekerjasama sesama penghuni.