| 
A+
Aa
A-
A
A
A

Peta Laman Aduan & Maklum Balas Hubungi Kami Soalan Lazim

Expedisi Menawan Puncak Kinabalu 2009

Baru sahaja berlalu XPDC menawan puncak gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia iaitu Gunung Tahan 3 minggu yang lepas Baru sahaja berlalu XPDC menawan puncak gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia iaitu Gunung Tahan 3 minggu yang lepas, Majlis Sukan Penjara Malaysia sekali lagi telah berjaya menawan puncak tertinggi di Asia Tenggara iaitu Gunung Kinabalu. XPDC ini telah bermula pada 28 Jun 2009 dan berakhir pada 30 Jun 2009. Tujuannya adalah untuk menguji ketahanan mental dan fizikal serta menanam semangat kerjasama dalam kumpulan seperti yang diucapkan "All For One, One For All".

Sekali lagi Timbalan Ketua Pengarah Penjara, Tuan Wan Mohamad Nazarie Bin Wan Mahmood telah mengetuai xpdc mencabar ini bersama-sama 61 orang peserta. Pada hari pertama 28 Jun 2009, bertempat di Puncak Borneo, peserta diberi kata-kata rangsangan oleh TKP Wan Mohamad Nazarie diikuti taklimat pendakian oleh malim gunung dan penginapan oleh kakitangan Taman Kinabalu dalam majlis makan malam dan suai kenal peserta. Kesemua peserta menginap di Taman Kinabalu dan xpdc bermula pada keesokan harinya.

Tepat jam 9.15 pagi, kesemua peserta dilepaskan selepas diberi taklimat kali kedua dan tag nama iaitu tag pengenalan diri yang perlu dipakai sepanjang pendakian. Sepanjang pendakian sebelum ke Laban Rata Resthouse (3,272 m / 10,735 kaki), peserta perlu melalui 7 pondok iaitu Pondok Kandis (1,981 m / 6,499 kaki), Pondok Ubah (2095 m / 6874 kaki), Pondok Lowii (2286 m / 7500 kaki), Pondok Mempening (2518 m / 8262 kaki), Layang-Layang (2,702 m / 8865 kaki), Pondok Villosa (2,690 m / 8,825 kaki) dan Pondok Paka (3,080 m / 10,105 kaki).

Dengan ketinggian yang berbeza-beza, para peserta dapat menikmati keindahan alam dan keunikan pokok-pokok yang sukar ditemui di kawasan tanah rendah. Semakin tinggi pendakian, semakin letih dirasai kerana tekanan udara yang semakin rendah. Namun kesukaran tersebut tidak mematahkan semangat setiap peserta untuk terus mendaki. Kadang-kadang terasa tercabar juga melihat pekerja-pekerja berbangsa Kadazandusun membawa barang atau tong gas yang beratnya mencecah 42 kg, bukan sahaja lelaki, malah perempuan juga membawa barang yang sama! Bukan mudah rasanya bagi orang yang tidak biasa.

Pada 30 Jun 2009, lebih kurang jam 2.30 pagi, para peserta meneruskan pendakian yang lebih mencabar iaitu ke puncak tertinggi di Asia Tenggara, Gunung Kinabalu. Dengan berpakaian tebal, bersarung tangan, bertutup kepala, para peserta perlahan-lahan menyusuri batu-batuan dalam keadaan yang hanya diterangi oleh lampu suluh. Kelihatan langit seolah-olah merestui pendakian pada permulaannya. Bintang bergemerlapan seperti menyinari perjalanan para peserta. Namun, setibanya di Sayat-sayat Hut (3810 m / 12,500 kaki), gerimis mula mengundang. Tanda-tanda hujan akan melimpahi puncak gunung. Semakin jauh mendaki, semakin lebat hujan turun diiringi kabus tebal. Langkah demi langkah diteruskan. Alang-alang mendaki biar sampai ke puncak. Seperti kata Tuan Wan Nazarie, � kalau kita tidak berusaha, kita tidak akan tahu hasilnya'.

Biarpun dalam keadaan kabus tebal yang jarak penglihatannya hanya 20 meter sahaja, kesejukan yang teramat sehinggakan tangan terasa kebas-kebas, akhirnya peserta berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu iaitu Low's Peak (4101m / 13455 kaki) pada pukul 0530 pagi.

Pemandangan sudah menampakkan diri. Subhanallah..Keindahan yang hanya dapat dinikmati dan dilihat oleh orang yang berada di atas puncak sahaja. Ciptaan tuhan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Begitu indah batu-batuan granit yang membentuk puncak-puncak kecil. Sepanjang menuruni puncak, para peserta dapat melihat South Peak, St. John's Peak, Ugly Sister's Peak dan Donkeys Ears. Di bawah pula peserta dapat melihat pekan Kundasang dan Ranau. Dengan sudut kecondongan cerun hampir 70� di sebahagian tempat, para peserta perlu berhati-hati agar tidak tergelincir.
Setelah menuruni perjalanan yang berbatu, para peserta tiba di Gunting Lagadan dan Laban Rata semula untuk mengemas barang-barang. Kesemua peserta kemudiannya berkumpul di Puncak Borneo untuk majlis penutup dan penyampaian sijil oleh Tuan Wan Mohamad Nazarie Bin Wan Mahmood. Terima kasih kepada Jabatan Penjara Sandakan kerana berjaya menganjurkan XPDC seperti ini. Bagi bakal peserta yang akan datang, cabarlah diri anda untuk menawan Puncak Gunung Kinabalu!


1 2
3 4
5 6

""