Program yang bermula pada jam 9 pagi dan berakhir pada jam 12.10 tengah hari itu diadakan secara berperingkat iaitu peringkat pertama seramai 4 keluarga banduan dibenarkan berjumpa yang mengambil masa selama 45 minit setiap satu sesi. Manakala peringkat kedua melibatkan 3 keluarga dan peringkat ketiga sebanyak 4 keluarga.
Di akhir setiap sesi perjumpaan ada di antara penghuni memberi cenderahati sebagai tanda penghargaan kepada keluarga masing-masing sempena Program Jalinan Kasih yang dibeli dari Bengkel Perusahaan. Progran Jalinan Kasih berjalan dengan lancar dan selamat di bawah kawalan IP Nazri dibantu 7 anggota dari Unit Pemulihan dan 2 anggota dari UKP. Pada awal program itu, suasana begitu meriah apabila satu keluarga demi satu keluarga datang manakala penghuni pula sabar menunggu ketibaan keluarga mereka. Pihak keluarga dan penghuni diberikan Mee Kari dan Tea o yang disediakan Jabatan Penjara. Seramai 7 wartawan dari media cetak dijemput bagi menjayakan program itu diantara yang hadir ialah Harian Metro, Kosmo, Sinar Harian, Bernama dan New Straits Times. Ketika majlis berjalan dengan meriahnya, terdapat satu keluarga banduan yang datang dari Negeri Sembilan menjadi tumpuan para media apabila salah seorang banduan menitiskan air mata kegembiraan sebaik berpeluang memegang tangan dan mencium pipi anak perempuan yang tidak pernah ditemui sejak dimasukkan ke dalam penjara, malah anak perempuannya itu tidak mengenali kerana kali terakhir banduan tersebut berjumpa dengan isterinya ketika sarat mengandung kira-kira 2 tahun lalu. Kira-kira lebih kurang 57 ahli keluarga turut hadir dalam menjayakan program anjuran Jabatan Penjara manakala 4 keluarga banduan tidak hadir pada saat-saat akhir. Pihak Penjara Penor amat menghargai penglibatan keluarga banduan, kerana Program Jalinan Kasih ini mampu merapatkan lagi hubungan kekeluargaan selain dapat memupuk nilai kasih sayang yang tinggi antara keluarga dengan penghuni. Ada di antara keluarga meminta agar Program Jalinan Kasih diadakan setiap tahun bagi mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan ibarat 'Air Di Cincang Tak Akan Putus' |
|