Penjara Seremban, Negeri Sembilan pada 23 Oktober 2019 telah menyahut seruan kerajaan dalam membentuk sebuah negara bersukan atau lebih dikenali sebagai Malaysia Sports Challenge 2019 (MySC19). Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata, MySC19 akan dilaksanakan selama 31 hari berbanding tempoh sehari dilaksanakan Hari Sukan Negara. Tempoh masa yang diberikan mampu memperluaskan lagi capaian kepada misi atau objektif Hari Sukan Negara pada tahun ini. Hari Sukan Negara ini adalah penting di dalam usaha kerajaan menggalakkan rakyat menerapkan amalan budaya hidup cergas dan aktif memandangkan peratusan masyarakat Malaysia yang aktif bersukan masih lagi rendah iaitu pada kadar sekitar 40 peratus berbanding dengan 50 hingga 60 peratus di negara maju. Budaya sukan melalui amalan gaya hidup cergas dan aktif pada masa yang sama dapat membantu menurunkan kadar penyakit kronik dikalangan rakyat Malaysia.
Acara dimulakan dengan ucapan aluan dari Pengarah Penjara, Seremban PKP Muhammad Nazri Bin Nasrudin. Dalam ucapannya, beliau menyarankan agar semua anggota mengamalkan cara hidup sihat dengan bersukan dan pemakanan diet seimbang. Di samping itu, beliau juga menekankan nilai keterlibatan yang tinggi kepada semua anggota terhadap semua aktiviti sukan yang diadakan di penjara ini. Acara diteruskan dengan senamrobik diketuai oleh (4) instructor dari Penjara Seremban dan disertai seramai 95 orang terdiri dari staff dan komuniti Penjara Seremban. Selesai aktiviti senamrobik, program diteruskan dengan Pertandingan Futsal mengikut rumah sukan. Pengamalan cara hidup sihat dengan bersukan bukan sahaja menjadikan badan sihat, kuat dan cergas malahan ia selari dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud Orang Mukmin Kuat Lebih Baik dan Lebih Dikasihi Allah Daripada Mukmin Lemah. Oleh itu Berpegang Teguhlah pada Setiap Kebajikan Yang Akan Memberi Manfaat (Diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Sahih muslim Daripada Saidina Abu Hurairah R.A). Penutupan Hari Sukan Negara Penjara Seremban disudahi dengan jamuan minum petang bersama Pengarah Penjara Seremban. |