Pada 27 Jun 2016 (Isnin) bertempat di Masjid Mukim Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan telah berlangsung program Ihya Ramadhan melibatkan 50 orang penghuni Penjara Pengkalan Chepa. Beberapa pengisian telah diaturkan oleh pihak Unit Agama institusi antaranya Ceramah Nuzul al-Quran yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) Al-Fadhil Ustaz Suratemi Bin Mat Yusoff, majlis penyerahan zakat penghuni, penyerahan sumbangan Al-Quran dari Ketua Eksekutif Syarikat HNS SDN. BHD, dan majlis berbuka puasa. Turut serta pada majlis tersebut beberapa jemputan khas dari institusi ini iaitu ahli jawatankuasa masjid mukim penjara Pengkalan Chepa seramai 3 orang dan seorang wakil dari ahli lembaga hakim pelawat kerajaan negeri Kelantan. Pada majlis yang sama, serahan zakat daripada 118 orang penghuni telah diserahkan kepada wakil amil lantikan MAIK iaitu KPL Zulhaswadi Bin Mamat yang turut disaksikan oleh Pengarah Penjara Negeri Kelantan, PKK Hamzani bin Che Ibrahim dan Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, PKK Kamarul Alam Bin Taib. Majlis turut dihadiri oleh wakil media Berita Harian dan Sinar Harian yang telah mengadakan temubual bersama wakil penghuni berkaitan penyerahan zakat. Selesai berbuka puasa, para tetamu dan penghuni menunaikan solat Maghrib berjemaah di masjid tersebut yang telah diimamkan oleh Ustaz Ilham Bin Che Daud. Majlis berakhir pada jam 8.00 malam. |