Semua 1,565 orang penghuni Penjara Tapah yang beragama Islam telah berpeluang menunaikan solat sunat Aidilfitri serta bertakbir pada malam raya secara beramai-ramai. Program ini dilaksanakan disemua blok penempatan penghuni termasuk Blok Banduan Akhir dan juga di Surau Al-Hidayah (surau dalam penjara) bermula pada malam hari raya dengan takbir raya dan pada sebelah paginya diteruskan dengan takbir dan solat sunat Aidilfitri. Imam dan khatib dipilih dari kalangan penghuni yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam Program Halaqah, manakala di Surau Al-Hidayah pula diimamkan oleh Pegawai Agama Ustaz Mohd. Firdaus Ariffin dan Khatib ialah Pembantu Guru Agama (PGA) Mohd. Rushdun Kamil. Selesai solat, semua penghuni menikmati jamuan hari raya yang disediakan.
|