International Centre For Law & Legal Studies (I-CeLLS) telah ditubuhkan secara pentadbiran di bawah Jabatan Peguam Negara dan dilancarkan oleh Y.A.B Dato' Sri Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dan Patron kepada I-CeLLS pada Julai 2011. Penubuhan I-CeLLS merupakan sebahagian daripada Program Transformasi Strategik Jabatan Peguam Negara. I-CeLLS dibentuk untuk menjadi sebuah institusi penyelidikan undang-undang yang menjadi rujukan dan tumpuan semua pihak di peringkat kebangsaan, serantau dan global.
Ibu Pejabat Penjara Malaysia telah menerima kunjungan Puan Azlin bin Sabtu, Cik Noor Zalizan Lazarous dan Encik Adam Stapleton daripada I-CeLLS untuk sesi temubual bersama YBhg. KJP Datuk Wira Hj. Zulkifli bin Omar dan mengadakan perbincangan dengan Pengurusan Tertinggi Jabatan. Salah satu daripada projek utama I-CeLLS adalah berkenaan dengan penambahbaikan sistem perundangan jenayah Malaysia dan untuk tujuan tersebut, sebuah penyelidikan awal (yang dikenali sebagai "Justice Audit") sedang dijalankan bagi menentukan status sedia ada sistem perundangan jenayah di Malaysia dan mengenal pasti bidang utama (focus area) bagi tujuan analisa terhadap penambahbaikan selanjutnya. Beberapa siri lawatan ke penjara bermula pada 25 Januari 2012 dan berakhir pada 7 Februari 2012 telah dirangka seperti Penjara Pulau Pinang, Penjara Sungai Petani, Penjara Kajang, Penjara Kota Kinabalu, SHG Telok Mas dan Penjara Sungai Udang.
|