Pada 28 Mac 2011 yang lalu, Kompleks Penjara Limbang, Sarawak telah dirasmikan oleh YAB Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak. Beliau diiringi isterinya Puan Sri Raghad Kurdhi Taib, Datuk Awang Tengah, Menteri-menteri Sarawak, Residen Daerah Limbang dan Temenggong Kawasan Limbang.
Penjara ini telah dibina dengan Kos sebanyak RM 84,000,000.00 dilengkapi dengan 4 blok banduan, 3 bengkel perusahaan banduan, pejabat pentadbiran, rumah kakitangan, dewan serbaguna, surau, tadika bagi anak anggota dan perpustakaan.
Di dalam upacara perasmian tersebut YAB Pehin Seri Abdul Taib Mahmud telah menandatangani Plak Perasmian disaksikan oleh Y.Bhg. Komisioner Jeneral Penjara Datuk Wira Haji Zulkifli Bin Omar. Turut serta pada majlis berkenaan adalah Timbalan Ketua Pengarah Penjara (Pengurusan) Y.Setia Tuan Wan Abdul Rahman Bin Abdullah, TKPj Mohd Zawawi Bin Ab. Rahim, Pengarah Penjara Negeri Sarawak, PKP Charin Promwichit, Pengarah Penjara Limbang serta pengarah-pengarah bahagian daripada Ibu Pejabat Penjara Malaysia.
Antara aturcara menarik di dalam majlis Perasmian tersebut adalah Puan Sri Raghad Kurdhi Taib telah menyiapkan sentuhan terakhir bagi songkok cenderahati Yang dibuat Khas bagi YAB Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di bengkel perusahaan Kompleks Penjara Limbang. Selain itu acara penanaman pokok sebagai simbolik permulaan kehidupan baru bagi pesalah yang dihukum untuk dipulihkan telah disempurnakan oleh YAB Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri.
YAB Ketua Menteri Sarawak juga didendangkan dengan lagu-lagu kegemaran beliau dari koleksi Allahyarham Tan Sri P.Ramlee oleh Kombo Jabatan Penjara Malaysia semasa jamuan makan tengah hari bersama anngota Kompleks Penjara Limbang di dewan Gemilang Kompleks Penjara Limbang. |