| 
A+
Aa
A-
A
A
A

Peta Laman Aduan & Maklum Balas Hubungi Kami Soalan Lazim

Konvensyen Inovatif Kreatif Jabatan Penjara Malaysia Peringkat Zon Negeri Sarawak

Pada 11 Mei 2011 Konvensyen Inovatif Kreatif Jabatan Penjara Malaysia peringkat zon negeri Sarawak telah diadakan di Hotel Paramount Sibu, Sarawak di bawah anjuran Penjara Pusat Sibu. Konvensyen ini telah dirasmikan oleh TKPj Tuan Haji Zawawi bin Ab. Rahim, Pengarah Penjara Negeri Sarawak.

 

Sebanyak empat buah institusi telah mengambil bahagian di dalam konvensyen ini antaranya ialah penganjur, Penjara Pusat Sibu diwakili oleh kumpulan “Prima” dengan mempersembahkan tajuk “Penambahbaikan Proses Penyediaan Profile Banduan Di Penjara Pusat Sibu”, Penjara Puncak Borneo diwakili oleh kumpulan Kaizen mempersembahkan tajuk “Masalah Penggunaan Kad Lawatan Penghuni”, Penjara Pusat Sri Aman diwakili kumpulan “Berlian II” mempersembahkan tajuk “Penambahbaikan Peti Simpanan Barang Pelawat Di Penjara Sri Aman” manakala Penjara Pusat Miri diwakili oleh kumpulan Matahari dengan tajuk “Kerosakan Antenna Walkie Talkie Penjara Miri”.

 

Hasil pembentangan keempat-empat kumpulan telah dinilai oleh juri jemputan daripada MAMPU, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Lembaga Pemantauan Tanah negeri Sarawak dan sebulat suara telah memilih kumpulan Kaizen daripada Penjara Puncak Borneo dengan projek Inovasi bertajuk Masalah Penggunaan Kad Lawatan Penghuni. Projek ini telah dipilih kerana olahan idea-idea serta penggunaan kaedah-kaedah penyelesaian yang bernas serta boleh memberikan penjimatan dari segi masa, wang dan juga penjimatan anggota ditempat jumpa. Projek kad pintar yang dibangunkan dengan system teknologi berkomputer yang membolehkan keluarga banduan menggunakan kad pintar yang menyimpan segala maklumat banduan menjimatkan masa pencarian kad serta tarikh bagi lawatan yang akan datang. Akses ke pintu Tempat Jumpa juga hanya untuk keluarga banduan yang telah disahkan di dalam sistem mengukuhkan lagi aspek keselamatan di kawasan penjara. Dengan rupa bentuk yang bersaiz kad ATM, ianya mampu meningkatkan imej Jabatan Penjara Malaysia kerana mengorak selangkah kehadapan untuk mencapai Visi Jabatan untuk menjadi sebuah pusat koreksional bertaraf dunia menjelang tahun 2020.

 

Tempat kedua disandang oleh Kumpulan Prima 2 daripada Penjara Pusat Sibu manakala tempat ke tiga disandang oleh kumpulan Berlian II daripada Penjara Pusat Sri Aman.