Pada 26 Mei 2011 satu persefahaman telah terjalin diantara Jabatan Penjara Malaysia dan Pusat Pengajian Pengurusan (School of Management) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) bagi melaksanakan program-program peningkatan ilmu pengetahuan dan tahap profesionalisme dalam perkhidmatan kepenjaraan.
Jabatan Penjara Malaysia perlu sentiasa mengenal pasti aspek atau bidang yang perlu diberi perhatian serius dan fokus utama jabatan adalah untuk memberi peluang kepada anggota dan pegawai kanan penjara membangunkan kompetensi mereka bukan sahaja dalam bidang teras berkaitan koreksional seperti pelaksanaan hukuman, pemulihan, malah ia juga turut merangkumi bidang kompetensi umum seperti pengurusan. Dengan termeterainya perjanjian persefahaman ini ia akan menjadi satu lagi wadah kepada semua warga penjara untuk memantapkan lagi usaha bergerak bersama-sama dan beriltizam untuk memulihkan pesalah agar bila dibebaskan mereka akan kembali ke pangkuan masyarakat dan berbakti kepada negara.
Pada majlis ini pihak USM diwakili oleh Profesor Suzie See Ching Mey, Pemangku Naib canselor USM dan Jabatan Penjara Malaysia oleh Y.Bhg. Datuk Wira Hj.Zulkifli bin Omar Ketua Pengarah Penjara Malaysia dan disaksikan oleh Y.B Dato Senator Maznah Mazlan Timbalan Menteri Sumber Manusia. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Y.S Komisioner Wan Abdul Rahman bin Abdullah, Pengarah Pembangunan Profesionalisme TKPj Nordin Bin Hj.Muhamad, Pengarah Penjara Seberang Perai, Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang dan Pengarah Parol Negeri Pulau Pinang.
|