Tanggal 18 September 2011 (Ahad) bersamaan dengan 20 Syawal 1432H yang lalu, bertempat di perkarangan Dewan Tan Sri Murad, telah berlangsung Majlis Sambutan Merdeka Raya Peringkat Penjara Sungai Buloh. Majlis yang julung-julung kali diadakan bersempena sambutan 3 perayaan iaitu Hari Raya Aidilfitri, Hari Merdeka dan Hari Malaysia telah diwarnai oleh program-program yang melibatkan kakitangan dan anak-anak iaitu program nyanyian lagu-lagu raya dan lagu patriotik, pengibaran Jalur Gemilang, agihan duit raya, Pertandingan Gerai Tercantik serta acara mendeklamasi sajak. Objektif majlis ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturrahim antara kakitangan, keluarga dan pihak pengurusan. Antara tetamu jemputan yang hadir ialah wakil daripada IPPM dan pengarah-pengarah institusi Zon Tengah. Majlis yang penuh warna-warni itu bermula jam 12.30 tengah hari dan berakhir pada jam 4.30 petang dan dihadiri oleh 1,600 orang kakitangan bersama keluarga masing-masing.
|